KETAWA salah satu reaksi spontan apabila kita terasa lucu atau menghiburkan hati. Malah, kajian juga mendapati ketawa memberi implikasi yang baik dalam kehidupan.

Namun, mungkin bukan pada satu tragedi yang pernah berlaku di benua Afrika ini. Difahamkan pada tahun 1962, Tanganyika (kini dikenali sebagai Tanzania) telah dilanda satu wabak aneh yang menjejaskan kehidupan ribuan rakyat di sana.

Apa yang menjadi tanda tanya, kesemua individu yang dijangkiti wabak berkenaan mula menunjukkan reaksi pelik iaitu ketawa tanpa henti.

Tragedi aneh ini dikatakan mula terjadi pada 30 Januari 1962 di sebuah sekolah yang terletak di sebuah perkampungan dikenali sebagai Kashasha.

Dikatakan, ia berpunca daripada tiga orang pelajar perempuan yang mula menunjukkan perilaku aneh dengan ketawa tanpa henti. Gejala pelik tersebut dikatakan berlarutan sehingga lebih dua minggu sebelum ketiga-tiga orang pelajar berkenaan mula berhenti ketawa.

Pada 18 Mac 1962, wabak itu dipercayai sekali lagi menyerang pelajar di sekolah berkenaan. Kali ini ia terjadi pada skala yang lebih besar. Difahamkan, seramai 95 orang daripada 159 orang pelajar telah dijangkiti wabak tersebut. Rata-rata daripada mereka berusia antara 12 hingga 18 tahun.  

Ekoran kejadian itu, ia telah memaksa pihak sekolah menghentikan operasi buat sementara waktu bagi mengelakkan wabak tersebut menjangkiti pelajar lain. Manakala pelajar yang telah dijangkiti diberikan cuti rehat di rumah masing-masing.

Gambar Hiasan.

Malangnya, penularan wabak tersebut semakin meluas dan mula mengancam penduduk lain. Pada 29 Mac 1962, jumlah individu yang dijangkiti wabak terbabit telah meningkat kepada 217 orang.   

Tanggal 10 Jun, wabak aneh yang tidak diketahui puncanya itu turut menjejaskan seramai 98 orang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Ramashenye, Bukoba. Mereka dipercayai mula ketawa tanpa henti sehingga lapan hari berturut-turut.

Insiden pelik yang berlaku selama satu tahun enam bulan itu juga dikatakan menular ke negara-negara jiran seperti Uganda dan Kenya. Berdasarkan laporan pihak berkuasa tempatan, sepanjang tempoh tersebut, lebih kurang 1,000 orang penduduk telah diserang wabak ketawa berkenaan.

Pada masa yang sama, mereka turut melakukan kajian bagi mengenal pasti punca penularan gejala aneh tersebut. Malangnya, hasil kajian dijalankan tidak menjumpai sebarang patogen atau agen beracun yang boleh menjelaskan sebab perilaku aneh pesakit yang ketawa tanpa henti.

Malah, tiada sebarang jangkitan atau penyakit dikesan menerusi ujian lanjut dilakukan. Peliknya lagi, serangan wabak tersebut mula dalam tempoh beberapa hari tanpa meninggalkan sebarang bukti sebagaimana peringkat awal ia menular. Selain itu, hasil ujian yang dilakukan turut mengenal pasti bahawa wabak ini akan hilang sepenuhnya selepas 18 bulan kemudian.

Berdasarkan laporan perubatan bertajuk ‘An epidemic of laughing in the Bukoba District of Tanganyika’ menjadi rujukan popular terhadap kisah serangan wabak ini. Laporan ini disediakan oleh dua orang pegawai perubatan tempatan bernama, Rankin dan Philip. Ia turut diterbitkan pada Mei 1963 oleh Central African Journal of Medicine.

Dua orang pegawai kesihatan itu telah mengambil masa selama setahun melakukan penyelidikan bagi mendapatkan jawapan terhadap wabak yang menyerang penduduk Bukoba.

Hasil siasatan lanjut mendapati, penduduk yang dijangkiti bukan sahaja tertawa, malah turut menunjukkan tanda-tanda histeria. Selain itu, kebanyakan mereka yang dijangkiti wabak ini dikenal pasti mempunyai kesan ruam di sesetengah anggota badan.

Ketika sesi temu bual bersama mangsa wabak itu, rata-rata daripada mereka memberitahu mengalami paranoid apabila wujud sesuatu sedang bergerak di sekeliling kepala.

Selain ketawa, mangsa yang dijangkiti turut bertindak ganas jika disuruh berhenti ketawa. Kesan akibat serangan wabak itu, kebanyakan mangsa pengsan akibat keletihan kerana terlalu lama ketawa.

Laporan bertulis ini turut menerangkan kumpulan mangsa yang terlibat. Jumlah paling ramai dijangkiti terdiri daripada kalangan wanita dewasa, kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki. Bagi kaum lelaki dewasa, jumlah direkodkan agak rendah.  

Selain wabak ketawa, epidemik yang hampir serupa pernah dilaporkan berlaku di Eropah. Dikenali sebagai Dancing Plague atau wabak menari direkodkan berlaku sekitar tahun 1518.

Difahamkan ia telah menyebabkan 400 orang mangsa menari selama beberapa hari tanpa henti. Ramai daripada mereka rebah akibat keletihan dan meninggal dunia akibat strok, serangan jantung dan keletihan melampau.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam