PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membantah hasrat mewujudkan semula ‘UMNO lama’ yang telah pun ‘terkubur’ pada tahun 1988.
Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, semangat perjuangan yang dibawa dahulu harus disuntik ke dalam parti UMNO sedia ada ketika ini.
Menurut beliau, kewujudan terlalu banyak parti politik akan membuatkan tiada satu pun yang menjadi dominan dan menunjangi sistem demokrasi untuk membentuk kerajaan.
Ahmad Zahid berkata, situasi tersebut boleh berlaku walaupun sesiapa pun bebas menubuhkan parti politik atau pertubuhan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
“Bagi kami dalam pimpinan UMNO, tiada UMNO lama dan tidak ada UMNO baru, yang penting UMNO itu satu saja dan kita mengambil perkiraan semua peringkat umur termasuk veteran.
“Jika ada perbezaan pendapat ia sering diraikan oleh kepimpinan.
“Saya tidak fikir perlunya semangat untuk menghidupkan parti yang sudah diharamkan dari segi perundangan pada 1988.
“Semangat itu harus disuntik dalam UMNO yang ada sekarang ini. Mari kita berpadu supaya dapat bergerak dalam satu landasan sama,” katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kenapa UMNO kelam kabut sangat, nak ke tak nak PRN Melaka?
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program jangkau luar vaksinasi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bagan Datuk.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, perbezaan ideologi dan pegangan politik perlu diketepikan bagi mengelakkan landskap politik berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berulang.
Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran UMNO bagi membincangkan usaha mewujudkan semula UMNO lama.
Tengku Razaleigh atau Ku Li memaklumkan pertemuan tersebut susulan kebimbangan dalam kalangan veteran parti tersebut terhadap situasi semasa politik negara ketika ini.
Kata bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu, rakyat bimbang ketidaktentuan politik serta kemampuan kerajaan yang diterajui UMNO ketika ini mengembalikan kestabilan dalam negara.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

