Sidang Dewan Rakyat turut menyaksikan penggunaan perkataan yang tidak sewajarnya oleh sesetengah ahli Parlimen Melayu.

“…Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam…”

Itulah antara barisan puisi yang dipetik dari sajak ‘Melayu’ karya Usman Awang, penyair terkenal tanah air dari era 60-an. Generasi sekarang yang berusia 20-an hingga 30-an mungkin tidak berapa kenal tokoh Sasterawan Negara ini.

Puisinya sekilas pandang, menceritakan sikap dan perangai orang Melayu di zamannya. Beliau aktif menulis sejak 1951 sebelum meninggal pada 2001. Di zamannya masyarakat Melayu hidup beradab, tertib dan bersopan santun serta tidak menyusahkan, begitu pemerhatiannya.

Mungkin kerana di zamannya tiada media sosial seperti sekarang, maka kekurangan ajar orang dahulu, iaitu peringkat datuk atau bapa kita, tidak ternampak dan tidaklah menjadi bualan orang seluruh negara. Sebab itu, mungkin orang Melayu dahulu dianggap baik dan pandai hidup bermasyarakat.

Atau memang sebenarnya orang Melayu dahulu mempunyai pekerti dan budi yang tinggi. Tidak suka membuat onar dan jika ada masalah ia akan diselesaikan dengan cara yang terbaik. Dan ini dicatat dan direkodkan oleh Usman melalui puisi ‘Melayu’nya.

Jika benar demikian, kenapa orang Melayu sekarang tidak seperti orang Melayu dahulu. Orang Melayu sekarang seperti hilang pedoman, suka bertindak kasar, tiada lagi bersopan santun, suka membuat onar, gembira mengaibkan orang, sibuk menjaga tepi kain orang, suka keji mengeji dan hina menghina.

Adakah ini kerana pukulan media sosial? Facebook, YouTube, Whatsapp, Telegram, Instagram, TikTok, Blog dan yang lain-lain, telah menjadikan kita tidak segan silu lagi untuk mendedahkan sikap buruk kita dan menceritakan keburukan orang?

Pernah terbayangkah kita, pada hari ini kita dapat melihat secara langsung melalui Youtube, seorang ibu bertekak dengan anak sendiri yang tidak bersetuju dengan ibunya hendak berkawin lagi. Ada pula yang menyorotnya dengan memberi komen yang memanaskan lagi keadaan.

Begitu juga kisah hendak melawat Palestin untuk tujuan amal. Itu pun boleh bertukar menjadi isu cerca mencerca kerana ada pihak tidak dapat pergi ke Gaza. Salah faham dan berburuk sangka antara mereka yang terlibat dipancarkan melalui media sosial dan ditontoni masyarakat.

Ada juga kes yang melibatkan seorang wakii rakyat sebuah negeri yang dilihat dalam media sosial suka memaki hamun orang. Maki hamunnya bukan di tempat biasa-biasa tetapi di dalam Dewan Undangan Negeri berkenaan,

Ada satu YouTube menunjukkan wakil rakyat ini menyumpah pada anggota lain semasa Dewan sedang bersidang. Wakil rakyat ini berlawan jerit perkataan ‘babi’ berkali-kali. Anggota yang seorang lagi turut membalas dengan menjerit ‘pengkhianat’.

Sebelum ini, wakil rakyat ini juga ada terlibat dalam beberapa kes lain dengan orang awam yang menjadi viral hingga timbul tagline kepada netizen iaitu “Siapa YB? Awak YB kah saya YB?”. Agak seperti satu paradoks, wakil rakyat yang suka memaki hamun dan memarahi rakyat!

Yang sungguh menghairankan setakat yang diketahui tiada siapa menegur wakil rakyat ini dengan kelakuannya yang sedemikian baik oleh ketuanya atau pemimpin masyarakat atau agama.

Lebih teruk juga, di Parlimen sendiri kerap ada wakil rakyat yang digelar Yang Berhormat mengeluarkan kata-kata kesat dan bermaksud lucah apabila bertengkar sesama sendiri. Sampai Speaker pun tidak larat untuk menyuruh wakil rakyat terbabit menarik balik kata-kata kesat itu.

Kisah yang terbaru di Parlimen ini, ialah ada wakil rakyat ini memanggil sesama mereka ‘mangkuk’, ‘mangkuk ayun’ dan ‘bangang’ semasa tengah berbahas. Sebelum ini, ada perkataan lain disebut juga seperti ‘barua’ dan ‘hitam’.

Dalam kalangan masyarakat pula, pihak berkuasa akan dimaki hamun dan dicerca oleh orang ramai apabila mereka menjalankan operasi membanteras perniagaan haram hingga tiada lagi rasa hormat pada pihak berkuasa yang kini dianggap sebagai ‘musuh’ mereka. Gelagat ini banyak sekali ditular dalam YouTube.

Di dalam grup Whatsapp khususnya yang berorientasikan politik lagi teruk, maki hamun, hentam menghentam, dan kutuk mengutuk adalah santapan harian anggotanya. Tidak kiralah yang dimaki, dihentam atau dikutuk itu adalah antara mereka atau pemimpin yang mereka tidak suka.

Hakikatnya, seolah-olah budi bahasa sudah lenyap dalam kalangan anggota grup ini. Bila bercakap, lepas. Bila bertutur, kutuk. Bila bangkang, maki. Bila benci, keji. Bila tanya, hina!

Adakah semua ini menunjukkan nilai-nilai pekerti mulia dan kesantunan yang diceritakan oleh Usman di dalam puisinya sudah luntur atau hilang dalam kalangan kita orang Melayu?

Di manakah salah silapnya masyarakat Melayu kita kini? Adakah kerana salah asuhan atau silap tumpuan pendidikan? Dan adakah orang Melayu sekarang sudah tidak tahu hendak buat apa-apa lagi dengan keadaan rupa masyarakat Melayu hari ini. Sudah tidak dapat diperbetulkan lagi dan menyerah sahajalah?

Jika Usman Awang masih hidup sekarang, mungkin puisi ‘Melayu’nya terpaksa diperbetulkan catatannya sesuai dengan sikap dan perangai orang Melayu sekarang?

“…Melayu itu hatinya panas
Nakalnya bersulam carut
Budi bahasanya tiada lagi
Kurang ajarnya menakutkan

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan kecam
Menyanggah dengan dendam
Marahnya dengan hasad…”

Wallahualam

  • Penulis merupakan mantan Ketua Pengarang Bernama 2014-2019. Mula menyertai Bernama sebagai wartawan pada 1980. Berkhidmat dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1992 hingga 2003 sebagai Penolong Setiausaha Akhbar dan kemudian Setiausaha Akhbar.
  • Pernah melalui pengalaman sebagai Ketua Biro Bernama Pulau Pinang, Sarawak dan Koresponden Singapura selain sebagai Pengarah Eksekutif anak syarikat teknologi maklumat Bernama Systems and Solutions Advisor (Bessar) yang kini dipanggil UXERA.