Rentas negeri dibenar esok, tapi untuk lengkap vaksin sahaja – PM

Dari Penulis

KERAJAAN membenarkan aktiviti rentas negeri bermula esok, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kebenaran ini sejajar dengan kadar vaksinasi populasi dewasa di Malaysia yang mencecah 90 peratus.

“Walaupun kebenaran diberikan, saya harap jangan sambil lewa kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVD-19.

“SOP adalah syarat utama dalam kita menjayakan perancangan seterusnya,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Tegas Perdana Menteri, Akta 342 atau Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit masih berkuat kuasa dan yang melanggar SOP COVID-19 boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang berkenaan.

“Saya tahu terlalu ramai Keluarga Malaysia yang mahu pulang ke kampung menziarahi ibu bapa, tetapi ia perlu dilakukan dengan tanggungjawab.

“Kena ada kawalan kendiri, misalnya jika ada simptom seperti demam, tanggunghlah dulu perjalanan,” jelasnya.

Baca artikel berkaitan: Masa untuk rentas negeri semakin hampir – Ismail Sabri

7,373 kes baharu, terendah dalam tempoh lebih 3 bulan

Tegas Ismail Sabri, kebenaran ini adalah kepada mereka yang sudah melengkapkan dos vaksinasi COCID-19.

Katanya, walaupun tiada Sekatan Jalan Raya (SJR) seperti sebelum ini, namun polis boleh melakukan pemeriksaan secara rawak.

“Ini seperti pemeriksaan MySejahtera oleh pihak polis di hentian rawat dan rehat (R&R) dan sebagainya termasuk SJR yang bertujuan pencegahan jenayah.

“Begitu juga di kedai makan, andai polis datang buat pemeriksaan SOP mereka boleh minta tengok MySejahtera kita. Semua atas budi bicara mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, Ismail Sabri mengingatkan kebenaran rentas negeri tidak termasuk untuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kalau kampung kita dikenakan PKPD, kita tak boleh masuk,” tegasnya.

Beliau pada masa sama meningatkan mana-mana rakyat yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 supaya segera berbuat demikian.

Katanya, ini bukan hanya untuk rentas negeri, tetapi kelonggaran lain juga memerlukan syarat lengkap dua dos vaksin.

Menjawab soalan media berhubung kanak-kanak dan remaja dalam aspek rentas negeri, Perdana Menteri berkata, mereka dibenarkan berbuat demikian.

Katanya, namun ibu bapa perlu bertanggungjawab bagi memastikan anak-anak mereka yang belum divaksin tidak terdedah kepada risiko COVID-19.

“Ini seperti tidak membawa anak-anak ke tempat yang sesak, ramai orang,” katanya.

Orang ramai melakukan aktiviti sukan dan riadah bersama keluarga selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran peralihan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara di sekitar Taman Tasik Titiwangsa 14 September lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

Dalam hal ini, katanya, SOP adalah perkara penting dan yang akan menentukan ia dipatuhi atau sebaliknya adalah diri sendiri.

Katanya, jika berlaku peningkatan kes selepas rentas negeri sekali pun, tidak akan ada penutupan seperti dahulu.

Sebaliknya ujar beliau, penutupan akan berdasarkan lokaliti jangkitan sahaja agar aktiviti lain seperti ekonomi tidak terganggu.

“Peningkatan kes di sebuah hotel di Langkawi baru-baru ini, kita hanya tutup hotel berkenaan sahaja, bukan seluruh Langkawi.

“Jika ada kampung yang catat peningkatan kes, kita akan tutup (PKPD) kampung itu sahaja. Macam kawasan saya sendiri pun, dua kampung terlibat saja dikenakan PKPD, bukan seluruh Bera.

“Sebenarnya kita boleh elakkan penutupan (peningkatan kes) jika semua dapat patuh SOP,” jelasnya.

Balai Perlepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 8 September lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sementara itu, katanya, kerajaan juga bersetuju membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Walau bagaimanapun, ujar beliau, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air. Kebenaran ini juga akan mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021.

“Keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan. Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin,” katanya.

Namun, kata Perdana Menteri, pintu sempadan Malaysia masih ditutup untuk pelancoong asing.

Kemasukan ke negara ini katanya, hanya untuk tujuan rasmi, kecemasan dan perniagaan.

“Tujuan pelancongan masih lagi di peringkat kajian. Tapi insya-Allah, KKM sedang menilai negara yang tidak mempunyai risiko (bagi membolehkan kemasukan pelancongan negara berkenaan).

“Sekarang hampir seluruh dunia memberikan vaksin dan perkara ini akan menjadi pertimbangan untuk pintu sempadan negara dibuka bagi tujuan pelancongan.

“Keseluruhannya ada enam kriteria seperti yang saya telah sebut (sebelum dibuka untuk pelancongan),” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun antara 13 didakwa merusuh di Jinjang

SERAMAI 13 lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini,...

More Articles Like This