SELAMA ini pakaian Ahli-Ahli Parlimen bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat adalah lounge suit atau berbaju Melayu lengkap bersamping.
Namun yang akan datang, Ahli-Ahli Parlimen dibenarkan memakai baju batik.
Syaratnya baju batik Malaysia berlengan panjang dan pemakaiannya adalah pada hari Khamis dan secara sukarela.
Ini setelah Jawatankuasa Dewan bersetuju dengan cadangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri yang bertujuan mendukung warisan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membacakan syor itu di Persidangan Dewan Rakyat berkata, pemakaian itu bukan mandatori.
“Ia adalah secara sukarela,” katanya ketika membacakan Penyata Jawatankuasa Dewan hari ini.
Di Singapura, kod pakaian kepada Ahli-ahli Parlimen Republik itu lebih longgar dengan tidak wajib memakai kot dan tali leher.
Di Parlimen United Kingdom (UK) pula, walaupun tiada kod pakaian secara formal, namun pemakaian kot dan tali leher tetap dikekalkan sebagai tradisi Parlimen negara itu.
Namun, ada kalanya timbul desakan daripada Ahli Parlimen negara itu yang mahu kebenaran diberikan kepada etika pakaian yang lebih longgar.
Baca artikel berkaitan: “Tak sabar tengok OOTD PM baru,” – Ismail Sabri dilantik PM-9, Instagram Jovian Mandagie dihujani ucapan tahniah
Sementara itu, pada perkembangan sama Bernama melaporkan Wan Junaidi turut membacakan dua syor lagi iaitu berkaitan komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli iaitu lima Ahli Parlimen kerajaan dan empat Ahli Parlimen Pembangkang.
Selain itu juga cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa (Special Select Committee on International Affairs).
“Pertambahan itu katanya selaras dengan Peraturan 82 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan penambahan kepada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan,” jelasnya.
Menurut Wan Junaidi, Jawatankuasa Dewan juga bersetuju agar terma rujukan bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas ini hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut, termasuk tujuan penubuhan; keanggotaan sembilan orang ahli termasuk pengerusi, dan tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal; kuasa memanggil dan penyata Dewan.
Syor-syor itu kemudian disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar dan disetujukan majlis mesyuarat.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

