TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) menerima lebih 10,000 pertanyaan mengenai urusan menunaikan umrah musim 1443H (2021-2022) dengan kira-kira 1,400 bakal jemaah umrah pula telah menyatakan hasrat untuk berlepas sebelum akhir tahun ini.
Walaupun kos menunaikan umrah akan meningkat sedikit kerana mengambilkira prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi, tempahan dijangka terus meningkat berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan rakyat Malaysia lengkap vaksinasi rentas negeri dan keluar negara.
THTS dalam satu kenyataan berkata, THTS menyambut baik usaha kerajaan dalam membuka semula sempadan negara bagi mengukuhkan lagi ekonomi Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.
“THTS sentiasa berusaha memastikan semua pelanggan yang menggunakan perkhidmatan pihak kami khasnya untuk ibadah umrah, pelancongan dalam dan luar negara akan diuruskan sebaik mungkin dengan mematuhi segala SOP Kerajaan Malaysia dan negara tuan rumah iaitu Arab Saudi,” katanya.
BERITA BERKAITAN Umrah hanya untuk mereka lengkap vaksinasi
Kenyataan itu memberitahu, Kerajaan Arab Saudi telah meletakkan syarat asas bagi jemaah umrah seperti berumur 18 tahun ke atas yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson.
Bagaimanapun, katanya, bagi penerima vaksin Sinovac, mereka perlu mendapat suntikan tambahan atau ‘booster’ vaksin daripada keluaran empat syarikat tersebut.
“Kerajaan Arab Saudi juga menetapkan umrah hanya boleh dilakukan sekali dalam tempoh 14 hari dan pelaksanaan Tawaf Umrah perlu menepati slot waktu yang diluluskan semasa permohonan visa umrah yang dibuat secara online,” jelasnya. – UtusanTV

