Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd. Razak Aid

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid telah mengeluarkan sejumlah RM17.9 juta daripada dana Yayasan Akalbudi (YAB) antara lain adalah untuk memudahkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah berminat untuk mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan hotel itu.

“Pembeli yang berminat ialah Nurulhidayah dan ini disahkan oleh Tan Sri Rashid Manaf (saksi pendakwaan ke-83) serta Datuk Seri Mohd Shaheen Shah Mohd Sidek (saksi pendakwaan ke-84) yang telah bertemu dengan Nurulhidayah dan tertuduh bagi membincangkan cadangan usaha sama,” katanya.

Beliau berkata perkara itu bermula apabila tertuduh memberikan arahan spesifik kepada Affin Bank untuk mengeluarkan dana daripada tujuh akaun simpanan tetap YAB berjumlah RM17,953,191.04 melalui firma guaman Tetuan Lewis & Co.

“Firma itu (Lewis & co) telah mengeluarkan sekeping cek pada 30 Jun 2016 bagi jumlah RM8.6 juta kepada Ri-Yaz Asset Sdn Bhd sebaik menerima arahan daripada tertuduh.

“Menurut B. Muralidharan (saksi pendakwaan ke-87), beliau telah diarahkan oleh tertuduh untuk membuat pembayaran itu bagi tujuan membeli 60 peratus saham syarikat tersebut daripada Tan Sri Rashid yang ketika itu adalah Pengerusi Ri-Yaz Asset.

“Sebelum ini, Tan Sri Rashid memberitahu mahkamah bahawa beliau berhasrat menjual sahamnya kerana syarikat itu berdepan kesukaran dari segi pembayaran bagi pinjaman sebanyak US$24.8 juta daripada EXIM Bank untuk pembelian hotel tersebut di Bali, Indonesia,” katanya.

Raja Rozela berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Beliau berkata Ahmad Zahid telah diamanahkan dengan dana YAB bagi tujuan khusus iaitu membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin serta menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.

Katanya Ahmad Zahid juga secara sedar telah memilih untuk menggunakan dana YAB bagi membayar kad kredit, polisi insurans serta cukai jalan kenderaannya dan tidak menggunakan akaun bank peribadi beliau.

“Mejar Mazlina Mazlan (bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid) dalam kenyataannya menyebut cek terbabit disediakan atas arahan dan pengetahuan tertuduh,” katanya.

Pendakwaan turut menyangkal dakwaan pembelaan bahawa Mazlina memiliki kawalan penuh ke atas buku cek justeru, tertuduh tidak mempunyai akses kepada dokumen itu.

“Itu hanya alasan kerana Ahmad Zahid adalah bos Mazlina. Beliau hanya perlu meminta Mazlina menunjukkan buku cek dan penyata kad kredit kepadanya.

“Kami berhujah bahawa Mejar Mazlina bukan sengaja menyembunyikan buku cek daripada tertuduh. Tidak ada asas untuk rumusan itu,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Isnin depan.- BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram