Orang ramai membeli tong air bagi persediaan berikutan gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang ketika tinjauan UtusanTV di Kampung Baru, Selasa lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMULIHAN bekalan air di 998 kawasan di Lembah Klang yang terjejas susulan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah pun mencapai tahap 50.6 peratus.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, keputusan itu berjaya dicapai setakat pukul 9 pagi tadi.

Menurut Air Selangor, Shah Alam mencapai pemulihan tertinggi iaitu sebanyak 92.3 peratus diikuti 89.3 peratus di Hulu Selangor dan 75.6 peratus di Kuala Selangor.

Katanya, wilayah Petaling pula telah mencecah 73.3 peratus; Gombak sebanyak 59.9 peratus manakala Klang hanya setakat 7.1 peratus.

Bagaimanapun, bekalan air di Kuala Lumpur dan Kuala Langat masih belum disalurkan ke mana-mana kawasan sekitar.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

Baca artikel berkaitan: Kerja selenggara LRA SSP1 selesai, bekalan air mula diagih

“Status pemulihan kawasan yang terjejas, pili air awam serta stesen pengisian air komersial boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak 998 kawasan Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula Rabu lalu.

Pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 tertangguh daripada jadual asal iaitu pada 2019 dan 2020, berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Pelaksanaan kerja itu sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik-taraf sistem bekalan air, demi keselesaan pengguna pada masa hadapan.

Kerja-kerja penyelenggaraan di LRA SSP1 itu telah selesai dengan loji mula beroperasi semula pada malam Rabu, 2 jam 45 minit lebih awal daripada jadual asal.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram