MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula pasportnya untuk kegunaan sementara.
Ia bagi membolehkan isteri kepada bekas Perdana Menteri itu ke Singapura untuk menemani anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua tidak lama lagi.
Hakim, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam bela tertuduh, Jagjit Singh.
“Pasport pemohon dikembalikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 (hari ini), dan mesti dikembalikan (ke mahkamah) sebelum atau sebelum 6 Disember 2021.
“Ini dengan syarat pemohon hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negeri ke Singapura, mulai 21 Oktober 2021, dan mesti kembali ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021,” hakim memutuskan seperti dilaporkan Malaysiakini.
Terdahulu, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memberitahu mahkamah bahawa anak perempuan pemohon iaitu Nooryana Najwa Mohd Najib, 33, sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura.
“Anak perempuan Rosmah mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi sewaktu bersalin yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawanya, jadi kami memohon untuk pasport pemohon dilepaskan sementara,” kata peguam itu seperti dilaporkan Bernama.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah permohonan itu selagi ia tidak mengganggu tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan.
“Pihak pembelaan mesti mematuhi garis masa yang dipersetujui kerana kami tidak mahu perbicaraan ditangguhkan,” katanya.
Hakim Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah untuk pulang ke Malaysia sebelum atau pada 21 Nov memandangkan beliau perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum perbicaraan bersambung pada 8 Dis ini.
Pada 12 Okt lepas, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan notis usul untuk memohon pelepasan pasport bagi membolehkan beliau pergi ke Singapura bermula hujung bulan ini sehingga minggu pertama Disember.
Rosmah memfailkan permohonan itu antaranya atas alasan beliau perlu berada di sisi anaknya, Nooryana yang mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi sewaktu bersalin iaitu pengaliran darah yang tidak normal ke uri janin dan kehilangan secara mendadak terhadap takat air ketuban yang bukan sahaja boleh membahayakan keselamatan anaknya itu malah bayi yang dikandungnya.
Selain itu, Rosmah perlu berada di sisi anak sulungya itu sebelum dan selepas bersalin bagi memberi bantuan fizikal, sokongan emosi dan penjagaan terutamanya dalam tempoh berpantang selain memastikan anaknya dapat berehat dan pulih sepenuhnya.
Dalam pada itu, Najib melalui peguamnya Rahmat Hazlan turut memfailkan permohonan sama di Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang akan didengar pada Isnin depan (18 Okt).
Pada 5 Okt lepas, Rosmah memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding perbicaraan peringkat bela diri kes rasuah terhadapnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini akan bersambung pada 21 Okt ini.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu khasnya, Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

