SEPANJANG enam tahun terbabit dalam bidang muzik, band Insomniacks yang dianggotai empat anak muda ini sudah mampu tersenyum lebar dengan pencapaian yang diraih mereka.

Apatah lagi album EP berjudul Kepala Batu yang dilancarkan pada Julai tahun lalu mendapat sambutan baik peminat termasuklah dua lagu dalam album berkenaan iaitu Pulang dan Reminisensi.

Menariknya, kedua lagu itu mendapat ‘air play’ yang tinggi selain lagu Pulang menjadi juara Carta RIM selama lebih dua tahun. Disebabkan itu, Insomniacks yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia melancarkan dua lagu itu dalam versi rakaman semula.

Selepas melancarkan lagu Pulang versi rakaman semula tiga bulan lalu, menyusul pula lagu Reminisensi yang dilancarkan di semua platform muzik digital termasuk video lirik di saluran YouTube Universal Music Malaysia bermula semalam (Jumaat).

Insomniacks yang anggotai oleh Wan Arif Iskandar Adnan (Iskandar) selaku pemain bass, Syed Mir Iqbal Syed Adeli (Iqie) vokalis dan gitar utama, Ahmad Danial Ahmad Roslan (Danial) gitar ritma dan Gavin Wong (Gavin) dram, optimis jika versi rakaman semula lagu ini dapat menarik perhatian pencinta muzik tanah air.

Malah, Iskandar yang mewakili Insomniacks berkata, lagu Reminisensi (Reimagined) dipilih untuk versi rakaman semula kerana lagu itu cukup diminati peminat.

“Lagu Reminisensi ini antara lagu yang terdapat dalam album EP kami. Kami ambil keputusan untuk rakam semula lagu ini dengan versi yang berbeza. Genre lagu ini masih sama, cuma dari segi ‘vibes’, dinamik dan emosi berbeza daripada rakaman sebelum ini.

“Mungkin ramai bertanya kenapa memilih single ini. Sebenarnya, ia juga atas perbincangan bersama syarikat rakaman dan mereka memang nak buat rakaman semula dua lagu iaitu Pulang dan Reminisensi.

“Selepas Pulang versi rakaman semula dilancarkan, kini giliran Reminisensi pula. Ini lagu yang memang mendapat sambutan daripada peminat sehingga sekarang,” katanya kepada URTV.

Insomniacks terbuka untuk menyanyikan lagu komposer lain

Menurut Iskandar, lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Insomniacks itu mempunyai keunikan tersendiri kerana muzik yang dibawa menjadi identiti mereka.

“Keunikan lagu ini, kami punya muzik tersendiri sekaligus menjadi identiti Insomniacks. Kami tulis lagu ini pun mengikut ‘vibes’ kami. Pada masa sama, ia menonjolkan muzik yang dibawa kumpulan kami. Dalam erti kata lain, Reminisensi ini adalah jiwa kami.

“Lagu ini bercerita mengenai kenangan lama yang dilalui bersama pasangan. Ia mengimbau memori yang dilalui bersama. Kalau kami pula, ia lebih kepada hubungan persahabatan kami yang sudah terjalin sejak sekian lama,” ujarnya.

Insomniacks yang kesemuanya berusia 24 tahun ini juga adalah bersahabat baik. Maka, tidak hairanlah jika aliran muzik dan keserasian mereka dalam berkarya sangat ‘hidup’.

“Kami selesa mencipta dan tulis lagu sendiri serta seronok dapat berkarya bersama. Tapi, kami juga terbuka kalau ada mana-mana komposer yang mahu bekerjasama dengan kami…kami okay dan tidak ada masalah. Sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir.

“Apabila bersama Universal Music pula, mereka juga okay jika kami buat lagu sendiri sebab mereka tahu kami suka tulis lagu. Dalam masa sama, kami faham keperluan mereka untuk lagu-lagu yang lebih komersial, jadi tidak ada masalah cuba mana yang terbaik.

“Bagi semua karya yang pernah dihasilkan, lirik adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan ada juga daripada rakan. Cuma, ada sedikit elemen fantasi supaya ia lebih menarik untuk disampaikan,” akhirinya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram