Poster iklan mengelirukan yang tular dalam media sosial menggunakan nama dan gambar Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd. Sadique.

KEMENTERIAN Perpaduan Negara menafikan ada menyiarkan iklan membabitkan tawaran peluang bagi mengisi beratus-ratus kekosongan jawatan guru tabika, baru-baru ini.

Menurut Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan, iklan tersebut telah tular dalam media sosial sejak Jumaat lalu, apabila poster mencari ratusan jawatan sebagai Guru Tabika Perpaduan tersebar.

Katanya, iklan itu yang disiarkan dalam status Facebook bertajuk Semakan Dan Permohonan Online itu menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

“Meskipun agensi Kemas bukan di bawah Kementerian Perpaduan Negara, (namun) gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dijadikan sebagai hiasan utama poster bagi memberi nilai komersial kepada iklan tersebut.

“Iklan tersebut mencetuskan tanda tanya besar apabila mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan terlalu rendah iaitu sekadar lepas Pendidikan Menengah Rendah (PMR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memberitahu iklan khas bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29 sebenarnya telah disiarkan pada 11 Oktober lalu.

Baca artikel berkaitan: Halimah Sadique jadi Menteri Kabinet keempat positif COVID-19

Kementerian itu memberitahu, kelulusan akademik sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan syarat kelayakan utama bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan, JPNIN.

Jelasnya, iklan sebenar itu turut menyiarkan peluang mengisi jawatan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 yang menawarkan empat kekosongan.

“Dalam siaran iklan melalui Facebook Rakan Perpaduan Pahang itu jelas menyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah calon lepas Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada institusi pendidikan tinggi tempatan.

“Poster mengelirukan itu telah mencatatkan hampir 1,000 perkongsian di laman sosial,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare