Orang ramai mengisi air ke dalam tong bagi persediaan berikutan gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang baru-baru ini. - GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKALAN air di 156 kawasan yang terjejas susulan insiden paip pecah akan disalurkan semula secara berperingkat mulai pukul 6.30 petang ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, kerja pembaikan paip pecah itu dijangka siap sepenuhnya pada pukul 6 petang.

Sehingga pukul 9 pagi tadi, kata Air Selangor, pelaksanaan kerja-kerja kecemasan telah pun mencapai tahap 55 peratus.

Menurut Air Selangor, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 6 petang esok.

“Air dijangka mula disalurkan kepada pengguna pada pukul 6.30 petang ini secara berperingkat ke 145 kawasan di Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat setelah kerja-kerja siap dilaksanakan.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi Air Selangor, hari ini.

Pengguna di 156 kawasan Sepang dan Kuala Langat berhadapan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sejak malam tadi ekoran insiden paip pecah di Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang.

Baca artikel berkaitan: Lagi gangguan air di Selangor. Kali ini babit 156 kawasan di Sepang, Kuala Langat

Air Selangor memaklumkan, bekalan air telah ditutup pada pukul 9 malam tadi bagi memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar.

Menurut Air Selangor, pihaknya akan menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Selain itu, pengguna turut dinasihatkan untuk mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki yang tiba.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini di laman sesawang www.airselangor.com dan saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram, selain pertanyaan dan aduan juga boleh disalurkan di talian 15300 atau Pusat Bantuan di aplikasi Air Selangor.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram