mekah

Assalamualaikum Saudara Pengarang

Muktahir ini sejak Kerajaan mengumumkan kebenaran untuk ke luar negara, masyarakat Islam Malaysia sudah sibuk bersembang di aplikasi whatsapp serta di sosial media dan ramai yang mula merancang untuk tunai umrah dan haji setelah hasrat mereka ke tanah suci tertangguh akibat COVID-19 sejak 2020.

Minggu lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan harga minima pakej umrah adalah RM6,900 berbanding RM4,900 sebelum ini dan ia merupakan peningkatan hampir 40 peratus secara kasar.

Kita faham kenaikan ini memang tidak dapat dielakkan kerana pada situasi pandemik, Kerajaan Saudi menaikkan pelbagai caj akibat pelaksanaan SOP, di samping cukai yang dikenakan kepada setiap jemaah.

Selain ujian saringan swab, kos bilik hotel yang bertambah kerana bilangan jemaah dalam bilik hotel terpaksa dikurangkan begitu juga muatan jemaah dalam bas serta pengurusan mutawif yang pastinya lebih ketat.

Walaupun kos pakej umrah makin tinggi sedangkan tempohnya pendek, tapi ramai yang tidak kisah untuk bayar lebih kerana rasa rindu kepada Baitullah lebih tebal. Sana sini agensi pelancongan amat sibuk mengurus ribuan tempahan yang ingin pergi tunai umrah.

Kesanggupan membayar lebih, untuk tunai umrah juga seharusnya berlaku pada musim haji nanti. Sekarang bayaran haji jika ikut Tabung Haji, jemaah haji hanya bayar tidak lebih RM10 ribu untuk 40 hari di tanah suci. Ini sangat rendah berbanding kesanggupan jemaah membayar pakej umrah yang tinggi tetapi untuk tempoh masa yang singkat.

Kos haji tahun hadapan juga pasti akan meningkat disebabkan faktor yang sama. Jika tahun sebelum ini kos minima haji adalah RM20 ribu, tidak mustahil ia akan naik hingga RM30 ribu tahun ini. Bakal haji harus bersedia untuk bayar lebih jika terpilih pergi haji tahun hadapan. Kenaikan ini tidak dapat dielakkan dan tidak harus dibebankan hanya kepada Tabung Haji.

Sudah tiba masanya Tabung Haji tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi kerana perkhidmatan haji masih perlu dikekalkan, ditambah pula dengan SOP, cukai dan lain-lain caj yang dikenakan di tanah suci. Untuk Tabung Haji terus kekal sebagai institusi kebanggaan negara yang mampu memberi perkhidmatan haji bertaraf dunia, umat Islam perlu membantu institusi ini dari bebanan subsidi haji.

Kita semua tahu bahawa ekonomi dunia amat terkesan akibat wabak COVID-19 dan Malaysia juga tidak terkecuali. Banyak syarikat-syarikat gergasi yang terkesan dan ada yang gulung tikar. Pasti Tabung Haji juga turut terkesan dan subsidi haji yang tinggi akan sikit sebanyak menggugat kedudukkan kewangan Tabung Haji bagi jangka masa yang panjang.

Saya berpandangan bakal haji Malaysia perlu bersedia untuk bayar lebih daripada RM10 ribu untuk pergi haji, sama seperti mereka bersedia bayar lebih untuk pergi umrah. Haji hanya untuk yang mampu dan jika tidak mampu, syarat wajib itu terhapus.

Kalau dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain, bayaran haji Malaysia adalah yang terendah. Tapi kita harus pandang ke depan kerana kalau Tabung Haji terus terbeban, ada kemungkinan Tabung Haji tidak lagi mampu untuk bertahan dan kita akan kehilangan satu-satunya institusi Islam yang menjaga kebajikan haji rakyat Malaysia. Kita pasti tidak mahu itu berlaku. Bayangkan berapa banyak lagi anak cucu kita perlu bayar dan mereka jadi seperti jemaah haji negara lain yang tidak terjaga ketika di tanah suci.

Persoalan saya, adakah subsidi haji mengikut syarat syariah yang telah ditetapkan oleh Islam dan adakah Tabung Haji perlu terus memberi subsidi haji yang tinggi?

Semua ini adalah penting dan perlu diperhalusi bagi kelestarian institusi Tabung Haji kerana kita mahu Tabung Haji terus kekal menjaga kebajikan jemaah haji negara selagi ada musim haji.

Abu Suffian Abu Hassan
Shah Alam, Selangor

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram