Bandar raya Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

Oleh: DATUK DR HASAN MAD

SEBANYAK mana manfaat yang dapat diraih dari Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bergantung kepada selera, nafsu dan keghairahan kita sebagai “oportunis”, mencetus atau merebut peluang yang ada atau yang dapat dicipta.

Datuk Dr Hasan Mad

Ini kerana RMK-12 bukanlah satu pelan tindakan yang tawarkan hidangan tersedia untuk dilapah. Untuk itu, setiap darpadai kita wajar mempunyai “agenda” kita sendiri dalam memanfaatkan perancangan yang terkandung di dalam
dokumen RMK-12 ini.
 
Oleh kerana begitu sifatnya dokumen ini maka saya kongsikan pandangan saya dari sudut “agenda” dan “peluang”, bermula dari Datuk Seri ismail Sabri Yaakob, sebagai Perdana Menteri, hinggalah kepada Kak Kiah, penjual nasi lemak di tepi lorong kecil di Bangi, atau Brader Grab Dr. Saiful yang berulang alik Serdang-IOI City Mall Putrajaya, 50 kali sehari, 365 hari setahun.  
 
● Sebagai pemimpin politik Ismail Sabri menagih sokongan dan perakuan daripada rakan-rakan wakil rakyat. Beliau perlu dapatkan “buying-in” daripada mereka itu.
 
● Sebagai ketua kerajaan, beliau juga perlu dapatkan “buying in” daripada semua pemegang-taruh. Jika tidak, apa agenda nasional yang hendak dijuarai.
 
● Beliau juga adalah jaguh agenda bumiputera, maka beliau wajib memastikan agenda bumiputera adalah agenda nasional, bukan agenda nasional sebagai agenda bumiputera.
 
● Justeru, kenalah beliau memastikan pendekatannya ini tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Dengan itu juga lebih mudahlah beliau memacu jentera awam, korporat dan swasta bersamanya mengangkat Malaysia menjadi “The Global Nation of Prosperity”.
 
● Kak Kiah dan Brader Dr. Saiful, tak boleh mengeluh jika RMK-12 tidak memanfaatkan mereka untuk lima tahun akan datang, kecuali mereka berdua ini punyai minda ”oportunis” sama seperti Ismail Sabri, dalam mencetuskan peluang daripada dokumen RMK-12 yang disediakan itu. Tiada siapa yang akan berhenti membeli nasi lemak dari Kak Kiah sambil menawarkan beliau dana untuk membesarkan bisnesnya. Atau, menawarkan Brader Dr. Saiful dari “business runner” kepada “business owner”.  
 
● Untuk mencipta “peluang’ setiap daripada kita wajib mempunyai “agenda” kita sendiri bagaimana sesuatu peluang itu dapat dicipta. Barangkali kita mual dengan keadaan politik semasa, tetapi tidak bermakna kita tidak perlukan agenda politik untuk mencipta peluang. Kita enggan berurusan dengan agensi kerajaan yang berkaitan kerana bosan dengan gelagat dan tatacara pegawai di agensi berkenaan bekerja atau melaksanakan agenda nasional yang diamanahkan kepadanya. Tetapi kita tiada pilihan sebab beliau di agensi itulah yang telah diamanahkan kerajaan sebagai agensi pelaksana. Mahu atau tidak kita wajib ada agenda atau strategi bagaimana untuk terus berurusan dengannya dan mencapai misi kita. Atas nama “peluang’ kita wajib cari kaedah terbaik untuk terus berurusan dengan agensi pelaksana berkenaan. Kecekalan sedemikianlah yang ada pada kebanyakan usahawan bangsa lain yang menyebabkan akhirnya mereka beroleh kejayaan.
 
Jom kita selami RMK-12 ini dari sudut “agenda” dan “peluang” dengan mendalami sedikit lagi setiap “agenda’ ini.  


II. Agenda Politik = Agenda Pemimpin
 
Sebagai pemimpin politik, Ismali Sabri pastinya tidak melepaskan “peluang” mempolitikkan RMK-12 ini.  Hatta, dokumen RMK-12 itu perlulah diubahsuai mengikut selera politiknya.
 
Jika ia diterima oleh rakan dan lawan politiknya, apatah lagi jika konsisten dengan MOU Kerajaan-PH, sudah pastilah berbakul-bakul “political mileage” beliau mampu raih.  
 
Bagi memenuhi keperluan itu, bukan sekadar menjenamakan semula dokumen itu untuk konsisten dengan jenama Keluarga Malaysia dan tema Kemakmuran, Inklusif dan Mampan, malah isi kandungannya juga wajiblah konsisten dengan jenama itu.
 
Sebagai golongan “oportunis”, kita wajar membiasakan diri dengan selera sedemikian. Tanpa menggadaikan prinsip perjuangan kita, “peluang” yang terdampar atau dicipta, wajib disambar.
 
III. Agenda Nasional = Agenda Kemakmuran
 
Setelah 55 tahun melaksanakan pembangunan terancang dengan pelan pembangunan berpenggal sebegini, buat kali pertama, bagi penggal ke-12 ini negara berhijrah ke model pembangunan berteraskan kemakmuran.  Inilah agenda utama RMK-12, iaitu membina kemakmuran untuk semua secara setara, adil dan saksama.
 
Pun begitu, takrifan dan model kemakmuran berbeza-beza mengikut kefahaman, keperluan dan cita rasa mereka yang terlibat.
 
Kerajaan mentakrifkan kemakmuran sesuatu yang bertunjangkan ekonomi, manakala lain-lain tunggak kemakmuran sekadar pelengkap. Maka dihasilkanlah model kemakmuran  seperti mana yang dipaparkan dalam dokumen RMK-12 itu.
 
Sebagai NGO mewakili kepentingan bumiputera, MPM melihat dokumen RMK-12 itu untuk memenuhi keperluan pembangunan mengikut acuan agenda nasional yang masih berdepan begitu banyak jurang yang perlu dirapatkan, ketidaksamaan yang perlu disetarakan dan begitu banyak variables yang perlu diambilkira.
 
Kita telah lama maju dan rakyat kini lebih berpendidikan, tetapi minda dan hati budi segelintir daripada kita masih lagi ‘polarised”, makanya kita masih lagi menerima pelbagai takrifan songsang mengapa jurang dan ketidaksetaraan itu masih wujud. Pun begitu, dalam beberapa kes terpencil, ada kebenarannya akan hujah mereka, mempersoalkan bagaimana ada di antara benefisiari ini yang tiba-tiba menjadi golongan kayangan.
 
Justeru, dalam mempertahankan peracangan yang dimuatkan didalam RMK-12 itu terpaksalah kita terus bersilat, satu berdepan dengan golongan “manipulators” ini dan di satu sudut mempertikaikan cara mana sesetengah mereka itu menjadi golongan “kayangan” dengan cara yang dipertikaikan.
 
Apa pun cabarannya, kepada sesiapa yang berhasrat mengintai “peluang” yang mampu direbut dari dokumen RMK-12 ini, sudi-sudilah memahami apa yang terkandung dalam dokumen itu, dalam paparan berkaitan atau atas nama:
 
● 3 tema pembangunan
● 4 pemangkin dasar
● 4 matlamat utama
● 9 fokas utama
● 14 pemacu perubahan
● Misi menjadi negara berpendapatan tinggi dan kehidupan bekualiti tinggi
 
Jika pengalaman lampau MPM dalam berurusan dengan beberapa agensi pelaksana dijadikan penanda aras penerimaan mereka terhadap dokumen seperti ini, ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan, sehinggakan salah seorang daripada kami (arwah) yang terlibat dalam libat urus itu terlalu kecewa lantas menghasilkan ulasan atas tajuk “RMK11: Planning to fail”.
 
Andai kata pemegang taruh dan jentera awam, korporat dan swasta masih lagi bermentaliti “menunggu hidangan” , nasib dokumen RMK-12 ini juga akan kekal di tahap lama.  
 
Apa pun flavor RMK-12 ini ia adalah paparan satu agenda nasional untuk kepentingan semua. Tidak betul mengatakan ia adalah agenda nasional bercitarasakan agenda bumiputera, hanya kerana ada terkandung di dalamnya satu bab mengenai agenda bumiputera.

Malangnya ada beberapa penganalisis terkenal, termasuk dari negara jiran, yang dikenali kebijaksanaannya, telah menggunakan kebijaksanaanya itu memanipulasi cerita RMK-12 ini kononnya ia lebih mirip atau memberi penekanan lebih kepada golongan tertentu dalam kalangan bumiputera. Niat sedemikian adalah tidak baik tatkala kerajaan beria-ia membina kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua.
 
 
IV. Agenda Bumiputera = Agenda Tetap
 
Agenda bumiputera adalah agenda tetap yang wajib diselitkan dalam apa juga agenda nasional, kerana ia memenuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
 
Malangnya, tidak ramai dalam kalangan bumiputera itu sendiri yang benar-benar faham akan peruntukan itu. Mereka dalam kalangan pakar perlembagaan dan sejarah pula tidak tampil memperjelaskan dan mendidik semua kelompok rakyat negara ini, termasuk bukan bumiputera, mengenai peruntukan Perlembagaan berkaitan dengan agenda bumiputera ini.
 
Lantas, kekeliruan mengenainya dibiarkan terus tercetus tanpa pembelaan atau penjelasan, maka semakin banyaklah kekeliruan ditimbulkan, hasil kerja manipulasi mereka yang ghairah memanipulasi isu-isu sensasi seperti ini.
 
Bagi mempertahankan agenda ini cerdik pandai bumiputera dalam semua bidang kepakaran (bukan hanya komuniti ekonomi dan politik saja) wajib bersuara mempertahankan hak bumiputera yang legitimate.

Semua pihak termasuk bukan bumiputera wajib sama-sama bertanggungjawab memperbetulkan persepsi negatif dan dimanipulasikan. Kerajaan juga wajib bertindak tegas terhadap para manipulator ini, termasuk mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, kerana mereka berbuat demikian dengan niat mencetuskan kebencian sesama rakyat.
 
V. Agenda Globalisasi = Agenda Tumpuan
 
Hendaknya bermula perancangan RMK-12 ini wajib ada Agenda Tumpuan.
 
Untuk kesekian lamanya kita asyik merancang agenda pembangunan negara hanya dari sudut pembangunan domestik semata-mata. Sebagai negara maju yang ingin menjadi negara berpendapatan tinggi, pasaran domestik dan sekadar bercerita menjadi pemain di pasaran domestik yang kecil ini tidak akan mampu melonjakkan egara menjadi negara berpendapatan tinggi.
 
Sejajar dengan hasrat itu dengan pada masa yang sama berusaha membina kualiti kehidupan yang tinggi, saya menyarankan Agenda Globalisasi dijadikan Agenda Tumpuan bagi RMK-12 ini.
 
Agenda ini juga diharapkan dapat mengekang berlakunya “brain drain”. Ratusan ribu kepakaran tempatan serta syarikat tempatan berhijrah ke negara di mana pasarannya sudah jauh lebih maju dan lebih terbuka seiringan dengan gelombang globalisasi dunia.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Merentas tiga PM, RMK-12 dibentang berobjektif ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’

RMK-12: Ibarat sebuah rumah banglo
 
Persoalan pertama ialah bagaimana sewajarnya pemain industri tempatan mampu dan bernafsu menjadi pemain di pasaran global. Bagaimana PEA, GLC & GLIC Malaysia meneroka serta menerajui agenda globalisasi negara? Bagaimana tenaga professional dan berkemahiran tinggi meneroka pasaran global? Bagaimana boleh dirangsang pemain industri Malaysia membina rangkaian diaspora, sebagai sebahagian dari jaringan pasaran global negara? 
 
Kedua, bagaimana negara ini sewajarnya dibangunkan sebagai hab pasaran global. Janganlah berasa malu untuk meniru negara jiran yang kerdil itu tapi kekuatan ekonominya terbina dari misi dan visinya menjadi hab teknologi, kepakaran, kewangan dan ekonomi global.
 
UAE pula bukan saja meniru model globalisasi negara berkenaan, malah, menerusi program pembangunan DGEP (Dubai Government Excellent Program), mereka telah islahkan Dubai dari sebuah kawasan gurun kini menjadi hab serbaneka utama di dunia.
 
Jika saranan ini diambilkira, pembangunan kapasiti, bakat, prasarana pelaburan dan sebagainya hendaklah dirancang sebaik mungkin, sebab beberapa hab baru, malah lebih berdaya saing berbanding Dubai,  sedang dirancang.

Jika kita tidak merancang untuk menjadi pesaing global, kita akan tercicir. Bila kita tercicir di persada global, hasrat menjadi The Asian Tiger atau hasrat mengembalikan Malaysia menjadi “The Investment Heaven’, hanya sekadar angan-angan saja.

Sekarang ini pun dalam kalangan sepuluh negara ASEAN kita sudah berada di ranking kelima. Itu pun sebelum kita dipintas oleh Filipina.  Adakah kita nak setaraf dengan lima lagi negara ASEAN yang kerdil itu?
 
Malaysia hendaklah dirancang dengan teratur menjadi “The Global Nation of Prosperity”. Bukan saja berdaya saing tinggi sebagai negara berpendapatan tinggi dan makmur, lebih penting ialah hasrat untuk semua rakyatnya berhak menikmati kehidupan yang sejahtera dan berkualiti tinggi.    
 

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram