Banyak pertanyaan dan sokongan diterima khususnya dari ibu-ibu tunggal yang menyokong dan bersimpati dengan kisah DCCK minggu lalu berjudul “Bersedia Dipanggang Jika Ke Mahkamah Syariah”.
Mereka kecewa teramat sangat dengan keputusan Mahkamah Syariah yang seolah-olah banyak memihak kepada kaum lelaki sebaliknya menyusahkan ibu-ibu tunggal.
“Kami juga adalah mangsa dan masih terasa sehingga kini kepanasan dipanggang Mahkamah Syariah. Kami bukan sahaja digantung malah kes yang kami bawa juga turut tergantung tanpa penyelesaian hingga kini. Entah berapa tahun lagi akan selesai, kami pun tak tahu.
“Tambah-tambah zaman PKP sebelum ini banyak kes terpanggang. Kalau ada di kalangan ibu-ibu tunggal yang boleh berbicara secara online, bertuahlah mereka. Tetapi bukan semua ibu tunggal ada kemudahan tersebut. Ramai lagi yang tak tahu cara mengikuti perbicaraan dalam talian daripada yang tahu.
“Usah kata nak mengikuti perbicaraan dalam talian, ada yang cuma ada telefon biasa sahaja, tidak boleh online sebab semuanya perlukan duit.” Komen seorang ibu dengan suara marah.
“Oleh kerana tidak ada kemudahan berbicara secara online ini maka banyaklah kes tertangguh. Bertimbun-timbunlah kes yang hendak dibicarakan nanti bila pintu mahkamah dibuka.” Yang menjadi mangsa tetap ibu-ibu tunggal yang terpaksa menyara makan pakai anak-anak, sementara bekas suami lepas bebas daripada menjalankan tanggung jawab seperti yang diamanahkan oleh Allah. Sementara di dunia mereka tak takut dengan hukuman Y.A. Hakim, ini kan pula di akhirat yang entah bila dan mereka tak nampak, kata mereka melahirkan rasa kecewa yang teramat.
Menyorot kes minggu lalu, seorang ibu tunggal, Puan Junita bercerita tentang kesnya yang masih meninggalkan banyak tanda tanya bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada ramai ibu tunggal yang menghadapi masalah sama.

Katanya, keputusan hakim yang tidak terperinci meninggalkan rasa kurang kefahaman kepada ibu tunggal khususnya dalam hal perlaksanaan perintah tersebut.
“Suka saya perjelaskan dan sarankan agar sebaik sahaja satu keputusan penghakiman dibuat, tak kiralah sama ada oleh Mahkamah Rendah hingga ke Mahkamah Rayuan, maka sesalinan keputusan tersebut wajib dihantar terus dan segera oleh Mahkamah Syariah kepada Ketua Jabatan/Majikan tempat bekas suami berkhidmat untuk dimasukkan ke dalam Buku Perkhidmatan bekas suami.
“Dengan cara ini bekas suami akan patuh dan menghormati perintah Mahkamah Syariah sebab mereka sudah pasti tidak mahu kerjaya mereka terjejas seperti kehilangan peluang kenaikan pangkat serta pencen.
“Tindakan ini amat penting, malangnya keputusan atau perintah ini tidak disampaikan kepada Ketua Jabatan/Majikan. Ketiadaan tindakan seperti inilah menjadi punca sistem Mahkamah Syariah nampak lemah dan setiap perintah yang dikeluarkan dipandang sepi oleh bekas suami mahupun warisnya.
“Adakah hal ini juga menjadi tanggung jawab bekas isteri untuk memaklumkan kepada Ketua Jabatan/Majikan sedangkan ianya boleh dilaksanakan terus dan segera oleh mahkamah tanpa perlu menunggu kami mengeluarkan duit poket kami untuk membuka fail baharu iaitu Permohonan Penguatkuasaan Perlaksanaan Perintah?
“Saya tidak fikir yang Ketua Jabatan/Majikan akan menerima pakai salinan Perintah Penghakiman yang ditunjukkan oleh bekas isteri tanpa arahan atau surat rasmi daripada Mahkamah Syariah sendiri.
“Saya hairan adakah agensi seperti JAKIM, Jabatan Agama, Kementerian Pembangunan Wanita dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam ada duduk semeja dan berbincang secara serius akan penyelesaian masalah kekeluarga ini, demi masa depan anak-anak supaya mereka tidak jadi mangsa perceraian
“Jelas sekali disebabkan oleh ketiadaan tindakan pemakluman inilah menjadi punca mengapa bekas suami dan warisnya tidak takut dengan perintah Mahkamah Syariah.

“Tetapi prosedur Mahkamah Sivil tidak seperti Mahkamah Syariah. Contohnya apabila seseorang itu baru sahaja didakwa dan belumpun disabitkan bersalah, pihak mendakwa/Mahkamah Sivil telah pun memaklumkan hal tersebut kepada Ketua Jabatan/Majikan. Ini membolehkan Ketua Jabatan/Majikan menasihati dan memantau pegawainya. Saya rasa inilah cara yang terbaik untuk menasihati bekas suami agar jangan lari daripada tanggung jawab mereka menyara anak-anak.
“Saya ingin tanya, apakah menjadi satu dosa jika Mahkamah Syariah ikut cara tindakan Mahkamah Sivil kalau kaedah yang dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil itu berkesan dan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak?” tanya puan Junita.
Sementara itu Puan Kay melahirkan rasa kecewanya dengan petugas yang bertanggung jawab. “Bila saya telefon tanya tentang SURAT PERINTAH, pegawai itu minta nombor kes dan minta E-mel. Dah banyak kali hantar seperti yang pegawai tu mintak, tapi tak dapat jugak jawapan daripada mereka.
“Sepatutnya surat perintah itu kita boleh dapat dalam masa sebulan, tetapi sekarang dah menjangkau lebih 8 bulan masih tak dapat. Bila kita telefon tanya, mereka minta nombor kes dan alamat E-mel. Dah banyak kali beritahu tapi gagal jugak, tak ada jawapan daripada mereka. Siapa tak sakit hati.
“Kalau susah sangat nak baca E-mel saya, kenapa tak hantar aje pesanan dalam telefon, pasti saya boleh baca atau suruh saya telefon mahkamah dengan pegawai tertentu, saya akan buat. Tapi mereka diam membisu.
“Masalahnya bila dah banyak kali tanya, mereka menyalahkan sayalah konon tak tahu prosedur. Sebenarnya kami orang kampung, tak ada E-mel, terpaksa suruh anak buatkan. Nasib anak tau. Kalau sesetengah ibu tunggal yang tak ada kemudahan telefon apa lagi E-mel, sudah pasti kes mereka terpangganglah.
“Nak naik mahkamah bertanya bukan senang nak dapat keputusan. Kena datang banyak kali. Setiap kali datang perlu duit. Kami orang susah, mana nak cekau duit.
“Mengapa tak hantar surat aje, macam dulu dulu, kan senang. Kami orang kampung bukan orang moden guna Internet, telefon pintar bagai, kami tak ada semua kemudahan itu. Sebab itu ramai ibu-ibu tunggal tak mahu bawa kes ke mahkamah, sebab masalah inilah.’’ Itu pengakuan Puan Kay.
“Kisah DCCK minggu lalu `Bersedia dipanggang jika ke Mahkamah Syariah’ bagi saya bukan kes terpencil sebaliknya itulah yang banyak terjadi kepada ibu-ibu tunggal. Kami berasa macam dipermainkan.’’ Demikian pandangan Puan Eshara ketika menghubungi penulis untuk mencurahkan isi hatinya.

“Contoh macam kes saya, bukan saya suka-suka hendak ke Mahkamah Syariah, tetapi saya sudah tidak boleh tahan lagi dengan perangai bekas suami yang beberapa kali buat skandal dengan ramai wanita. Sebenarnya bukan saya sahaja yang menangkapnya, malah ahli keluarga bekas suami sendiri pun berjaya memberkasnya. Jadi masih bolehkah lagi saya bersabar? Saya malu, mana nak sorok muka ini.
“Bila saya sudah hilang sabar, saya minta cerai. Mungkin setelah bercerai bekas suami boleh kahwin lagi dengan sesiapa sahaja wanita yang dia suka.
“Setelah bercerai, saya buat tuntutan nafkah ke Mahkamah Syariah. Dalam perbicaraan bekas suami setuju beri nafkah RM250 sebulan untuk 3 orang anak. Yang besar sudah masuk IPTA, seorang baru habis SPM dan seorang bersekolah rendah.
“Jumlah nafkah sebanyak itu memang tak cukup. Bayangkan 3 orang anak yang sedang membesar dan sedang menuntut di Universiti. Kerana tak puas hati, saya buat tuntutan tambahan.
“Kali ini bekas suami setuju beri RM350 sebulan, naik RM100. Saya tak setuju. Memanglah tak cukup. Saya bawa tuntutan lagi ke Mahkamah Syariah sebab saya dah tak mampu untuk mengurus perbelanjaan anak-anak yang sentiasa bertambah kerana mereka semakin besar.
“Peliknya bila sampai Mahkamah Syariah, hakim perintahkan beri nafkah RM400 sebulan. Cuma naik RM50 sahaja untuk ketiga-tiga orang anak saya. Rupanya Mahkamah Syariah lebih bersimpati kepada kaum sejenisnya daripada ibu tunggal yang memang susah ini. Saya rasa ini memang tak adil.
“Saya buat rayuan lagi, kemudian hakim menjatuhkan perintah, bahawa anak saya yang masuk universiti umur sudah lebih 18 tahun kena buat tuntutan nafkah untuk dirinya sendiri. Saya tak boleh tuntut bagi pihak dia. Sementara anak kedua yang akan sambung belajar di kolej, diberi RM120 sebulan masuk akaun bank anak, manakala anak ketiga yang bersekolah rendah diperintah beri nafkah RM400 sebulan.
“Masalah saya, anak sedang belajar di Universiti, dia sibuk belajar, dan ketika itu perlu hadapi peperiksaan lagi, bagaimana dia nak buat tuntutan. Hingga kini sudah dua tahun dia masih tak buat tuntutan, sebab sibuk belajar. Akhirnya sayalah yang terpaksa tanggung makan minum, duit saku, tambang, beli telefon, bil telefon, bil unifi dan sebagainya.
“Memang dia dapat pinjaman PTPTN, bermakna dia akan bayar hutang PTPTN bila habis belajar nanti. Jadi mana tanggung jawab ayah yang sepatutnya menyara nafkah anak-anak, sebaliknya mahkamah meletakkan tanggung jawab makan pakai, pelajaran serta keperluan anak itu di atas kepala emak juga, sebab anak masih belum buat tuntutan kerana sibuk belajar.
“Begitu juga anak yang baru belajar di kolej. Ayahnya beri duit RM120 masuk akaun anak. Tapi 2 tahun PKP mereka duduk dan belajar di rumah, siapa beri mereka makan, siapa belikan pakaian mereka? Jadi akhirnya siapa yang pikul nafkah anak-anak dan segala keperluan pembelajaran, laptop, printer dan sebagainya? Bukan saya yang tanggung? Tuan hakim ada tak fikir masalah ini?
“Bil utiliti kena bayar juga, bukan sikit, tiga orang anak yang perlu saya tanggung seorang diri. Ayahnya tak ambil peduli, alasannya mereka belum pergi belajar lagi. Siapa tak sakit kepala. Anak-anak bukan tak cuba telefon ayahnya, tapi mereka sudah bosan, sebab ayahnya tak jawab. Kalau jawab pun ayahnya akan suruh minta pada emak. Alasannya tak ada duit, belum gaji, tunggu gaji bulan depan. Senangnya jadi ayah. Semua pupuk atas kepala bekas isteri.
“Akhirnya semua benda si emak kena tanggung. Bab tolak menolak beri nafkah anak-anak ini memang satu perbuatan yang menyakitkan hati bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada anak anak juga. Hingga anak-anak malas menghubungi ayah mereka sebab mereka terasa diri seperti peminta sedekah.
“Perbuatan dan sikap si ayah membuatkan si anak membenci dan menyimpan perasaan dendam kepada ayah mereka. Kerana itu si ayah jangan marah dan kecewa jika anak-anak tak pedulikan ayah mereka setelah tua nanti, apa lagi terlantar sakit. Ketika itu jangan pandai nak sumpah seranah anak-anak, sebaliknya sumpahlah diri sendiri.
“Untuk mendapatkan nafkah ini pun bukan mudah, sebaliknya saya terpaksa naik turun mahkamah beberapa kali. Malangnya keputusan yang diberikan amat mengecewakan, seolah-olah anak-anak ini menjadi tanggung jawab si ibu untuk beri nafkah dan segalanya, bukan tugas si ayah. Memang tak salah kalau kami katakan Mahkamah Syariah membela kaum lelaki dan menindas ibu-ibu tunggal.
“Itu baru kes tuntutan nafkah yang pada saya belum selesai lagi sebab saya tuntut RM2,000 tapi mahkamah putuskan beri RM400 sebulan untuk anak ketiga dan RM120 sebulan untuk anak kedua. Sementara anak yang masuk universiti disuruh buat tuntutan sendiri. Adakah ini adil?
“Kepada pembaca yang ada anak-anak belajar di universiti dan kolej anda fikirkan sendiri, adakah pinjaman PTPTN yang diberikan itu mencukupi untuk kegunaan anak-anak?

“Ini baru kes tuntutan nafkah, belum kira tuntutan harta sepencarian yang masih terpanggang, tergantung tak tahu bila akan selesainya. Semasa berkahwin dulu, kami ada beli sebuah rumah atas kami bersama. Rumah itu saya buat sedikit ubah suai yang harganya dekat RM80K menggunakan duit yang saya pinjam dari bank. Tapi dalam diam-diam suami nak jual. Bila saya dapat tahu, saya buat kaveat.
“Kerana dia gagal menjualnya, dia pujuk saya bahawa jika dia dapat harga yang paling baik, dia akan beri separuh daripada harga jualan rumah tak termasuk duit ubah suai rumah kepada saya. Sebab kami pun sudah bercerai.
“Kerana sudah bercerai dan pegang pada janjinya, saya setuju jual. Dia minta saya tarik kaveat. Malangnya setelah saya tarik kaveat, hingga kini sudah dua tahun rumah terjual, saya tak mendapat hasil jualan rumah tersebut walau sesen pun. Dia memang menipu. Akibatnya saya terpaksa membayar pinjaman bank hingga kini.
“Bayangkanlah betapa seksanya hidup saya. Sudahlah dibebankan dengan nafkah entah ke mana, terpaksa pulak membayar pinjaman bank. Mana ibu tunggal tak sakit hati dengan perangai bekas suami seperti ini. Sudahlah semasa berkeluarga kita diperdaya dengan skandal bersilih ganti, setelah bercerai dibebankan pulak dengan masalah hutang,’’ demikian cerita Eshara panjang lebar tentang masalahnya.
Oleh: MAIMUNAH YUSOF
———————————————————————–
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam