
HARI ini (Isnin 1 November) bermulalah sesi persekolahan secara bersemuka bagi negeri-negeri di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sayangnya keseronokan kembali ke sekolah ini dibayangi kemelut segelintir guru yang masih enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Hari ini adalah hari penentuan bagi mereka. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tempoh sehingga hari ini sebelum bertindak terhadap guru yang enggan divaksin.
Seperti ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, tindakan ini selaras dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan penjawat awam mengambil suntikan lengkap vaksin Covid-19. Jika tetap enggan, tindakan tata tertib akan diambil. Ini termasuk menukar guru atau menamatkan perkhidmatan.
Kedegilan guru mematuhi arahan KPM boleh menjejaskan operasi sekolah dan membahayakan warga sekolah, terutama murid-murid serta pelajar yang kini hadir secara fizikal setelah sekian lama terkurung dengan Pelajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Difahamkan, selepas peringatan JPA, terdapat perkembangan positif apabila senarai guru yang enggan divaksin turut berubah. Kerajaan terus memantau perkembangan semasa kerana masih ada yang belum berbuat demikian.
Keselamatan persekitaran sekolah amat diutamakan. Kerana itu KPM menetapkan pematuhan operasi prosedur standard (SOP) di mana tidak semua murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah hadir serentak. Kapasiti adalah separuh daripada kelas dan secara giliran.
Kerana itu sebahagian murid atau 50 peratus (dalam Grup A) akan datang ke sekolah dan sebahagian lagi (Grup B) masih menerusi PdPR. Minggu berikutnya, Grup B pula ke sekolah bersemuka dan Grup A melalui PdPR). Begitulah seterusnya bergilir secara mingguan sehingga kehadiran sepenuhnya dibenarkan.
Secara mudah, pada 1 November pengoperasian sekolah melibatkan sekolah rendah Tahap 1 (Tahun 1, 2, dan 3 Grup A) dan sekolah menengah melibatkan kelas peperiksaan awam, Tingkatan 3 dan 4, juga Grup A. Pada 8 November pula melibatkan sekolah rendah Tahap 2 (Tahun 4, 5, dan 6 (Grup B) serta sekolah menengah Tingkatan 1 dan 2 Grup B. Begitulah seterusnya pergerakan giliran.
Bagaimana pun sekolah berasrama penuh dikecualikan. Kehadiran mereka tanpa penggiliran, termasuk kelas peperiksaan awam dan tingkatan lain. Murid sekolah lain seperti sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat juga hadir secara penggiliran.
Begitu telitinya pihak KPM menyediakan jadual persekolahan demi kesejahteraan guru dan murid. Namun ada pula guru yang cuba memperleceh usaha ini, enggan divaksin dan mendedahkan persekitaran sekolah kepada risiko jangkitan Covid-19.
Belajar dalam suasana bertemu muka tentunya lebih mudah dan menyeronokkan. Pelajar boleh menghayati pelajaran dengan lebih baik dalam suasana interaksi dua hala, memudahkan proses pelajaran dan pembelajaran (P&P). Apa yang tidak faham boleh ditanya dan dijawab segera.
Ini bukan bermakna PDpR tdak membantu. Cuma kerana ia bukan kehadiran fizikal di sekolah, ada kelemahannya. Misalnya murid atau pelajar tidak masuk kelas sehingga guru tertunggu-tunggu. Ada yang masuk sekejap lepas itu hilang.
Kerana itulah operasi semula sekolah sangat penting dan perlu dipastikan berjalan lancar. Hakikat jumlah penduduk dewasa menerima suntikan dua dos langkap vaksin Covid-19 sudah melepasi 90 peratus, paras imuniti kelompok atau herd community, sangat melegakan.
Program imunisasi pelajar berumur 12 hingga 17 tahun secara keseluruhannya mencapai tahap 80 peratus sudah menerima dos pertama, malah ada negeri yang sudah berjaya mencapai 90 peratus. Pelajar Tingkatan Enam dan Tingkatan Lima sebahagian besarnya sudah lengkap divaksinasi.
Bagi murid sekolah rendah, KPM ketika ini akur dengan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa tiada vaksin sesuai untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun. Jika sudah ada, KKM sedia memberi vaksin kepada murid berkenaan dan KPM akan memberikan kerjasama penuh.
Yang sangat merisaukan kini ialah sikap segelintir guru yang cuba menggugat usaha kembali ke sekolah dengan degil tidak mahu divaksin. Bagaimana harus mereka dibenarkan datang ke sekolah mengajar, berhadapan dengan rakan-rakan guru serta murid-murid yang sudah divaksin?
Risikonya amat tinggi kerana guru tidak divaksin berpotensi menjadi penular Covid-19. Sikap mereka amat tidak bertanggung jawab kerana sebagai pendidik yang saban hari berdepan dengan pelajar dan bergaul dalam persekitaran sekolah, mereka mesti mempunyai perlindungan lengkap.
Guru sebagai kaki tangan awam tertakluk dan mesti patuh kepada arahan JPA. Namun jelas ada yang tidak peduli peringatan KPM dan JPA, tidak takut tindakan tegas yang akan diambil kerana enggan divaksin. Tidak peduli walau menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan tempat bekerja.
Sedia dan relakah menghadapi tindakan yang menyusahkan diri sendiri dan keluarga? Ditamatkan perkhidmatan bererti tiada pendapatan untuk kelangsungan hidup dalam suasana Covid-19 yang mencabar. Mahukah sampai ini terjadi?
Amat dikesali para cikgu sebagai golongan terpelajar mudah terpengaruh dengan dakyah antivaksin tanpa sokongan bukti konkrit, daripada mempercayai kerajaan yang tidak mempunyai maksud tersembunyi selain hanya mahu melindungi keselamatan semua.
Cikgu-cikgu jangan cuba beri alasan adalah hak mereka jika tidak mahu divaksin. Apakah orang di sekeliling tidak ada hak? Tidakkah warga sekolah, orang awam, malah keluarga sendiri mempunyai hak berada dalam persekitaran sihat dan selamat? Hentikan sifat selfish ini.
Murid atau pelajar sentiasa menghormati cikgu sebagai sumber ilmu, juga sebagai pelindung. Justeru datanglah ke sekolah mencurah ilmu dengan diri sendiri sudah mendapat perlindungan lengkap vaksin Covid-19. Wujudkan suasana kondusif di sekolah untuk semua.
Kepada cikgu-cikgu yang masih degil ini ubahlah sikap. Ambil segera suntikan vaksin kerana Covid-19 masih di sekeliling. Ancaman virus ini mesti diminimumkan dalam negara bergerak menuju era endemik.
Namun jika masih berdegil, apakan daya.
Penjelasan dan amaran cukup sudah diberi. Pujukan sudah tidak perlu lagi. Jika ingin hidup susah, bagai tiada beban mencari beban, pergi ke sungai batu digalas, maka teruskan.
Hanya bersedialah hadapi tindakan. Sedialah menjadi insan asing dan terasing kerana tanpa vaksin lengkap tidak dibenarkan melakukan apa yang dibolehkan untuk yang lengkap bervaksin. Ini termasuk tidak boleh rentas negeri balik kampung dan dine in. Hiduplah dalam kesunyian dan bersendirian. – UtusanTV
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

