SEBANYAK 1,047 kes baharu positif Covid-19 membabitkan varian membimbangkan (VOC) yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2) dikesan di seluruh negara dari 29 Oktober lalu hingga hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 1,047 kes baharu positif Covid-19 membabitkan varian membimbangkan (VOC) yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2) dikesan di seluruh negara dari 29 Oktober lalu hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kesemua kes itu dikenal pasti susulan kajian berterusan oleh Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS); UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM); Integrative Pharmacogenomics Institute, Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM); dan Malaysia Genome Institute (MGI).

Menurutnya, daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan jumlah tertinggi dengan 790 kes diikuti Pulau Pinang (56) dan Johor (55).

“Ia diikuti Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing merekodkan 34 kes; Selangor (31); Sabah dan Melaka (masing-masing 16); Kuala Lumpur dan Perlis (masing-masing enam) serta Labuan (tiga),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, untuk hari ini, kes sembuh Covid-19 terus mengatasi kes baharu dengan 5,865 kes berbanding 5,713 kes.

Ujarnya, daripada 5,713 kes baharu itu, 93 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3,4,5 manakala 5,620 kes (98.4 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 555 kes (519 kes disahkan Covid-19 manakala 36 kes
disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

“Sebanyak 280 kes disahkan Covid-19 termasuk 62 kes disyaki memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lima kluster baharu pula dikesan dengan empat daripadanya membabitkan kluster tempat kerja manakala satu komuniti.