AYOB Khan menunjukkan lori yang membawa muatan tayar cuba diseludup dan dijual di Malaysia. GAMBAR: Facebook Polis Johor

“INI seludup tayar. Bayangkan kalau lain-lain bahan kontraban diseludup seperti rokok, arak dan dadah. Ini yang merisaukan kita.”

Demikian kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay selepas pihaknya berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan tayar bernilai RM697,759 dari Singapura menerusi pemantauan dan intipan di kawasan keluar masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, 28 Oktober lalu.

Menurut Ayob Khan, polis Johor sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengenal pasti di mana dan bagaimana boleh berlaku ketirisan di pintu masuk antarabangsa negara dengan begitu mudah.

Kata beliau, sindiket penyeludupan tayar itu hanya menggunakan kad akses diberikan kepada pemandu lori supaya melalui lorong yang tidak perlu mengisytiharkan barangan sewaktu masuk semula ke Malaysia.

Dalam kejadian pukul 5.35 petang, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasukan Polis Marin Wilayah 2 telah mengekori sebuah lori mencurigakan keluar daripada CIQ Bangunan Sultan Iskandar.

Kata beliau, polis kemudiannya telah berjaya menahan lori berkenaan di Plaza Tol Kempas dan menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun.

Menurut Ayob Khan, susulan daripada serbuan pertama, sepasukan polis Cawangan Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah membuat tangkapan terhadap seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun di Taman Sri Skudai, Johor.

Baca artikel berkaitan: Dua ditahan memandu bawah pengaruh dadah – Ayob Khan

“Siasatan mendapati suspek merupakan majikan kepada pemandu lori yang ditahan sebelumnya.

“Suspek juga menguruskan segala urusan membawa tayar tidak bercukai masuk ke Malaysia dari Singapura,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hasil semakan rekod ke atas kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 mana lebih tinggi sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya enam hingga tujuh bulan lalu.

Beliau memaklumkan, polis masih lagi menjalankan siasatan untuk mengesan siapa dalang sindiket.

“Siasatan masih dijalankan sama ada melibatkan orang dalam atau tidak sebab hal berkaitan pintu masuk antarabangsa bukan di bawah bidang kuasa kita.

“(Sebab itu), kita berkolaborasi dengan pihak kastam untuk mengesan siapa dalang. Isunya di bahagian pintu masuk kita ini kerana lori ini bila dia keluar dari Malaysia diisytiharkan kosong, bila masuk semula pun kosong,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram