LIMA calon presiden Chile terpaksa menjalani kuarantin sejak semalam selepas menjadi kontak rapat kepada seorang lagi calon yang didapati positif Covid-19, 16 hari sebelum pilihan raya umum (PRU) negara itu.
Ini selepas mereka dipercayai terbabit dalam perbahasan tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.
Susulan itu, empat calon tersebut mengambil bahagian dalam debat yang disiarkan stesen televisyen secara maya dari rumah masing-masing.
Mereka adalah Sebastián Sichel dari parti pemerintah Christian Democratic Party, Yasna Provoste dari parti sama, José Antonio Kast dari Republican Party dan Marco HenrÃquez Ominami dari Independent Regionalist Party.
Kelima-lima calon itu antara tujuh calon presiden terbabit dalam dua perbahasan awal minggu ini.
Pada perbahasan terakhir, mereka dipercayai tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berkempen, menyaksikan empat calon berhubung secara dekat dengan Gabriel Boric, calon dari pakatan Apruebo Dignidad, yang diuji positif sehari sebelumnya.
Sehubungan itu, kesemua calon terbabit menangguhkan aktiviti kempen mereka.
Boric akan dikuarantin selama 10 hari manakala yang lain perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari.
Bagaimanapun, memandangkan mereka telah melengkapkan jadual vaksinasi, mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 sekali lagi pada hujung minggu ini.
Jika keputusan negatif, kesemua calon akan dapat kembali berkempen kepada umum pada Isnin.

