WALAUPUN beberapa orang kru dan pelakon telah disahkan positif Covid-19, sebuah produksi tetap meneruskan penggambaran tanpa menghiraukan keselamatan orang yang terbabit.
Tindakan produksi yang tidak bertanggungjawab itu telah mencetuskan kemarahan pelakon Adam Shahz dan mengecam sikap produksi tersebut.
Jelas Adam atau nama sebenar Nor Shah Azli Abdol Ghani, 40, hal itu akan memburukkan lagi nama dan imej industri seni tanah air kepada persepsi orang ramai.
“Saya tak menyebut nama mana-mana produksi tapi apa yang pihak mereka buat itu sangat tidak bertanggungjawab.
“Kita tak nak disebabkan tindakan mereka itu, industri akan dipandang buruk,” katanya memetik laporan mStar.
Malah, pelakon Juvana itu berkata arahan daripada produksi itu dapat dibuktikan melalui sebuah rakaman audio suara.
“Saya berani bersuara sebab saya ada bukti. Orang yang saya kenal, bagi saya dengar ‘voice note’ pihak tersebut yang menberi arahan untuk teruskan penggambaraab selain membuat ugutan kepada pelakon dan kru terlibat.
“Kata mereka, jangan ‘berkokok’ kalu nak cepat habis penggambaraan kena teruskan saja. Sedangkan sudah hampir separuh daripada bilangan kru termasuk pelakon yang disahkan positif,” ujarnya.
Kongsi Adam lagi, mereka yang telah disahkan positif sudah dikuarantinkan tetapi kepada yang belum dijangkiti terpaksa meneruskan penggambaran dan perlu mengunci mulut.
Adam berharap pihak yang terlibat seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengambil tindakan sewajarnya kerana ia melibatkan nyawa orang sekeliling.
“Perkara ini melibatkan nyawa orang lain juga. Sepatutnya mereka kena ambil tindakan apabila ada kru atau pelakon yang disahkan positif.
Berhenti penggambaraan but sementara waktu demi keselamatan orang,” tegas Adam.
Dalam pada itu, Adam turut memaklumkan dia tidak bekerja untuk produksi itu tetapi perkara tersebut terjadi terhadap kawan-kawan kru serta artis yang terlibat.

