PRN Melaka: Proses mengundi tamat, siapa tadbir Melaka?

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

TEPAT pukul 5.30 petang tadi, proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara rasmi telah pun tamat.

Tumpuan kini terarah kepada proses pengiraan undi bagi memastikan Kerajaan Negeri Melaka dibentuk selepas ini.

Gabungan manakah akan mentadbir Melaka sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahu pun Perikatan Nasional (PN)? Semuanya bakal terjawab selewat-lewatnya pukul 10 malam ini.

PN menawarkan manifesto Ikrar PN Untuk Melaka dengan slogan ‘Melaka Bangkit Gemilang’ berteraskan enam tunjang utama, 11 strategi dan 74 pendekatan.

Pada masa sama, PN turut meletakkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri sekali gus bakal melakar sejarah menjadi Ketua Menteri wanita pertama Melaka sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

BN pula meletakkan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika gabungan itu mencapai kemenangan serta manifesto bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.

Sementara itu, PH yang mengumumkan calon DUN Bukit Katil, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka turut menawarkan manifesto dinamakan ‘Pelan Tindakan – Maju bersama Harapan’.

Baca artikel berkaitan: PRN Melaka catat pelbagai peristiwa, situasi ‘pertama kali’

Sehingga pukul 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan sebanyak 61 peratus telah turun mengundi dalam PRN kali ini.

Jumlah tersebut kurang berbanding sasaran awal SPR yang menetapkan 70 peratus daripada 495,195 pengundi yang layak akan keluar mengundi.

Sebagai rekod, peratusan mengundi di Melaka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah mencatatkan 84.7 peratus.

Secara umumnya, proses pengundian PRN Melaka bermula 8 pagi tadi di 217 pusat pengundian membabitkan sebanyak 1,109 saluran berjalan lancar.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa telah dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga 5.30 petang tadi.

Pada 16 November lalu, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

PRN Melaka menarik penyertaan seramai 112 calon bertanding membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Bebas.

Ia juga berlangsung dalam situasi norma baharu yang menyaksikan larangan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka dan menggunakan kenderaan dengan siar raya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Jenazah suami Nancy Shukri diterbangkan ke Kuching hari ini

JENAZAH suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari akan diterbangkan...

More Articles Like This