SELEPAS mendapat kritikan daripada ibu bapa dan pelajar mengenai jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang akan diadakan pada Mac tahun depan, Kementerian Pendidikan menyatakan akan mengeluarkan satu jadual baharu dalam masa terdekat.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, kementeriannya menerima banyak pandangan dari ibu bapa dan calon berkenaan jadual peperiksaan tersebut dan sedia mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami mengambil kira semua pandangan yang diberikan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia dan pengurusan tertinggi kementerian untuk melihat semua pandangan yang diberikan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan menganalisa pandangan tersebut,” katanya dalam satu petikan video di Facebook miliknya.
Jadual peperiksaan SPM pada 3 Mac sehingga 20 Mac 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) Khamis lalu mengundang pelbagai reaksi kerana terdapat tarikh peperiksaan jatuh pada hari Jumaat dan Ahad.
Peperiksaan pada sebelah petang menyukarkan pelajar beragama Islam yang terpaksa tergesa-gesa dari masjid selepas selesai solat Jumaat untuk ke dewan peperiksaan, manakala peperiksaan pada hari Ahad pula akan menyebabkan guru pengawas peperiksaan terpaksa bekerja tanpa rehat dalam tempoh seminggu.
Selain itu, tarikh jadual peperiksaan itu juga turut berada pada cuti akhir penggal ketiga 2021/2022 yang dijadualkan bermula pada 25 Februari sehingga 20 Mac 2022. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

