KALAU sebut lagu Ulek Mayang, memang ramai yang tahu. Lagu itu dahulu memang popular dan sering dipersembahkan sama ada di pentas atau kaca TV.

Ulek mayang ku ulek… Ulek dengan jala jemala

Ulek mayang diulek… Ulek dengan tuannya puteri

Ulek mayang diulek… Ulek dengan jala jemala

Ulek mayang diulek… Ulek dengan puterinya dua

Begitu sebahagian liriknya. Bila terdengar lagu Ulek Mayang ini, saya ada pengalaman aneh dengan lagu ini sewaktu zaman belajar dulu. Masa itu, kami hampir-hampir saja akan mementaskan Ulek Mayang tetapi di saat akhir, kami membatalkannya.

Kejadian ini berlaku lebih kurang 15 tahun dahulu, sewaktu saya menuntut di tahun akhir di sebuah pusat pengajian tinggi. Ketika itu, saya bersama sekumpulan pelajar lain dihantar ke Langkawi selama seminggu untuk mengikuti satu seminar induksi.

Dua hari sebelum berakhirnya seminar, kami diminta untuk mengadakan persembahan berkumpulan pada malam terakhir kami di sana bersempena dengan majlis penutup. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Saya diserapkan ke dalam kumpulan 10 peserta yang diketuai oleh Abang Joe.

Malam itu kami duduk berkumpul di tepi pantai, berbincang untuk memilih tema persembahan. Hasil perbincangan, kami sepakat mahu mempersembahkan muzikal Ulek Mayang.

Kebetulan Abang Joe membawa gitar dan alat perakam radio. Dia cadangkan kami cuba menyanyikan lagu itu terlebih dahulu untuk dirakamkan. Daripada lima ahli perempuan dalam kumpulan kami, Munirah mempunyai vokal yang agak baik.

Abang Joe memetik gitar memberi irama manakala Munirah melontarkan suaranya. Pada mulanya, segalanya berjalan dengan baik, sehinggalah Munirah menyanyikan bait lagu yang menyebut tentang puteri tujuh.

Puteri tujuh berbaju serong… Puteri tujuh bersanggul sendeng…

Puteri tujuh bersubang gading… Puteri tujuh berselendang kuning..

Umbuk mayang diumbok…. Umbok dengan jala jemala…

Nok ulek mayang diulek… Ulek dengan tuannya puteri

Yang anehnya, sebaik masuk bait lagu yang menyebut puteri tujuh, cuaca yang sebelum itu tenang tiba-tiba berubah. Angin mula bertiup kencang. Udara yang sebelum itu panas berubah menjadi sejuk.

Kami berpandangan, mula ketakutan. Munirah juga berhenti menyanyi bila melihat keadaan aneh itu. Abang Joe yang menyedari perubahan itu juga berhenti memetik gitar. Akhirnya kami sepakat untuk pulang semula ke hotel.

Keesokan harinya, Abang Joe memanggil kami semua. Ada sesuatu yang ingin diperdengarkan kepada kami.

“Cuba kamu dengar betul-betul sampai habis,” kata Abang Joe lantas memainkan semula pita rakaman semalam.

Kami semua memberi fokus pada lagu Ulek Mayang nyanyian Munirah yang dirakamkan malam tadi. Kami terkejut, saling berpandangan dan bertanya sendiri, suara siapa itu?

Pada tiap bait korus lagu itu, kedengaran suara lain yang turut mengalunkan lagu tersebut. Bagaikan ada ramai perempuan yang turut sama menyanyi. Nyanyian Munirah diiringi penyanyi latar!

Kami kehairanan. Semalam sewaktu menyanyi lagu itu, hanya Munirah seorang yang mengalunkankannya. Kami semua diam kerana tidak mahu mengganggu proses rakaman ketika itu. Tapi, mengapa tiba-tiba muncul back-up singer? Dari mana datangnya suara-suara latar itu?

Beberapa kali pita rakaman itu dimainkan dan tiap kali itu juga, suara latar itu terus kedengaran. Seram sejuk kami dibuatnya, meremang bulu roma. Memang terasa lain macam bila dengar suara misteri dalam rakaman itu.

Ditambah dengan pelbagai kisah pelakon wanita yang sering histeria sewaktu mementaskan Ulek Mayang, akhirnya kami sepakat membatalkan persembahan tersebut. Kami tak sanggup ambil risiko kalau-kalau berlaku kejadian aneh jika mempersembahkan Ulek Mayang. Sebagai ganti, kami hanya menyanyi lagu-lagu biasa saja secara beramai-ramai pada malam penutup itu.

Sebab itu kalau orang kata lagu ulek mayang itu `berhantu’, saya tidak berani menafikannya. Begitu jugalah dengan drama pementasan kematian Mahsuri yang sering dikatakan berlaku kejadian pelik, antaranya hujan akan turun sebaik sahaja sampai pada adegan wanita itu dihukum sula sehingga mati. Begitu jugalah dengan persembahan Ulek Mayang.

Itu hanya pandangan saya, mungkin pada orang lain berbeza. Tapi memang selepas itu saya tak mahu lagi terlibat dalam pementasan berkaitan Ulek Mayang ini. Nak menyanyikannya pun tak berani sangat. Masih terasa seramnya bila dengar suara misteri dalam pita rakaman kami malam itu.

**Kiriman : Roslina, Kuala Lumpur.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare