Impian menggenggam segulung ijazah memberi makna besar buat Nur Afifa Binti Mohamad Danil, 26, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Psikologi Sukan) Fakulti Sains Sukan Dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran sejak berusia 11 tahun tak menghalang graduan yang berasal dari Kedah ini membuktikan golongan sepertinya mampu menamatkan pengajian dengan jayanya.

Afifa anggap kekurangan pada diri pencetus semangat untuk berjaya.

“Alhamdulillah, banyak cabaran yang saya lalui sepanjang bergelar mahasiswa sementelah berhadapan dengan masalah pendengaran. Bagaimanapun alah bisa tegal biasa, dengan dorongan keluarga dan rakan-rakan yang rapat dengan saya banyak membantu sepanjang tempoh pengajian saya di sini,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis Istiadat Konvokesyen UPSI ke-22 di sini.

Sebagai seorang mahasiswa, anak sulung daripada empat orang adik beradik ini bergiat aktif dalam pelbagai program dan aktiviti anjuran universiti serta menjawat pelbagai jawatan persatuan pelajar antaranya Setiausaha Kelab Istimewa UPSI serta tiga jawatan iaitu Naib Presiden Psikologi, Exco Kebajikan dan Perkhidmatan dan Exco Latihan Pembangunan Sahsiah dalam Persatuan Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI.

“Saya akui adakalanya saya tak faham ketika berada dalam kelas, tetapi saya akan segera bersemuka dengan pensyarah mendapatkan bimbingan. Alhamdulillah para pensyarah dan rakan-rakan saya amat membantu sepanjang tempoh pengajian, saya amat bersyukur dikelilingi oleh orang-orang yang prihatin. Biasalah, ada juga rakan-rakan yang mengusik pada kekurangan saya, tetapi saya pujuk juga hati supaya tak terjejas emosi berlebihan,” jelasnya yang mengamalkan prinsip buat sehabis baik dan sentiasa berfikiran positif untuk terus rasa gembira.

Bercita-cita mahu mengikut jejak ibunya, Rohana Abdul Khalap menjadi pendidik pada anak nusa dan bangsa pada suatu hari nanti, Nur Afifa meneruskan pengajian dengan mengambil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Universiti Malaysia Sabah serta bekerja sambilan dalam bidang perhotelan secara sambilan.