Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGGANTI Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang meletakkan jawatan selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau sendiri akan memutuskan siapa yang bakal menggantikan Mohd. Rafiq atau mengumumkan rombakan lain.

Kata beliau, tindakan Mohd. Rafiq disifatkan sebagai langkah terhormat.

Beliau berkata, ia sebagai satu langkah bagi memberi laluan untuk membuat rombakan Badan Pimpinan Negeri (BPN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Terbukti benar beliau meletakkan jawatan berundur dan ini satu langkah terhormat iaitu memberi laluan supaya kita dapat buat rombakan BPN.

“Saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti atau rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya seperti dilapor Bernama.

Semalam, Mohd. Rafiq membuat keputusan meletakkan jawatan selaku Pengerusi PN dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Baca artikel berkaitan: Mohd. Rafiq letak jawatan Pengerusi PN, Ketua Bersatu Melaka

Beliau memaklumkan, peletakkan jawatannya itu adalah bagi memberi peluang kepada kepemimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu dan PN Melaka supaya mempunyai masa mencukupi membuat segala persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas mengenai isu supaya PRU-15 disegerakan, Muhyiddin berkata, beliau telah pun memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya perbincangan diadakan bagi menentukan masa sesuai.

“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri supaya ada perbincangan dibuat untuk menentukan masa yang sesuai, mungkin di peringkat Perdana Menteri mengikut perlembagaan ia akan membawa kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tapi saya pasti ia akan mengambil pertimbangan, situasi dan keadaan serta kerjasama antara parti politik yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU), dalam menstabilkan situasi politik,” kata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram