Datuk Kamaruzzaman Johari mewakili Noh Omar bersama Mohd Shahar Abdullah (kanan) ketika Majlis Pecah Tanah Tapak Stesen Minyak milik Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh, Pahang sambil diperhatikan Mat Zahari Derahman. /Gambar SKM

KOPERASI Serbaguna FELDA Bukit Goh Berhad bakal menambah aset dan sumber pendapatan kepada koperasi dan anggotanya menerusi pembukaan stesen minyak di KOTASAS yang merupakan lokasi strategik di bandar Kuantan.

Projek jangka masa panjang itu dianggarkan dapat menjana hasil jualan sehingga RM18 juta setahun sebaik ia mula beroperasi pada suku kedua 2022.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, Koperasi Serbaguna FELDA Bukit Goh Berhad sudah memiliki sebuah stesen minyak jenama Petron di FELDA Bukit Goh.

Katanya, projek stesen minyak kedua itu bermula apabila pihak KOTASAS memberi peluang kepada yang berminat untuk membeli tanah lot milik pengurusan projek hartanah itu di Kuantan.

“Koperasi ini bijak mengambil peluang yang ada dan membeli satu lot tanah dengan membangunkan tanah tersebut bagi mendirikan stesen minyak berjenama Shell.

“Stesen minyak tunggal di kawasan KOTASAS dapat menyediakan keperluan pengguna sekitar kawasan ini termasuk penggunaan petrol, diesel, kedai serbaneka Select dan sebagainya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Tapak Stesen Minyak milik Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh, Pahang.

Teks ucapannya dibaca oleh Setiausaha Politik beliau, Datuk Kamaruzzaman Johari.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah serta Pengerusi Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh, Mat Zahari Derahman.

Majlis itu dianjurkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SKM Cawangan Negeri Pahang serta koperasi berkenaan.

Terdahulu, Noh berkata, sehingga 30 Jun 2021, Pahang merekodkan sebanyak 191 koperasi di seluruh negeri itu dengan keanggotaan seramai 303,535 orang.

Katanya, jumlah modal syer atau yuran berjumlah RM328 juta dan jumlah aset bernilai RM1.6 billion serta pendapatan (turnover) berjumlah RM415 juta.

“Koperasi dilihat mampu bertahan dan meneruskan aktiviti seperti sedia ada walaupun terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Di bawah pimpinan seramai 12 anggota Lembaga dan disokong anggota seramai 734 anggota, koperasi negeri ini menjana pendapatan sebanyak RM9.64 juta antara Januari 2021 hingga Ogos 2021 malahan boleh mempelbagaikan aktiviti bagi menjana keuntungan dan dinikmati anggota dalam pelbagai bentuk sumbangan.

“Koperasi dilihat dapat bertapak dengan kukuh dan mampu bergerak jauh seiring dengan koperasi berjaya yang lain,” katanya.