KOPERASI Putri Terbilang Malaysia Berhad (KOPUTRI) telah menerima Anugerah Koperasi Wanita dalam program Voices of H.E.R Festival sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya memperkasa wanita melalui koperasi.
Penyampaian anugerah itu telah disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick sempena program H.E.R Festival itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), semalam.
Ewon dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 281 koperasi seluruh negara merupakan golongan wanita dan ibu tunggal.
Menurut beliau, ia melibatkan keahlian seramai 29,373 ahli.
“Setakat Jun 2024, sebanyak 16,009 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan 7.15 juta, syer dan yuran terkumpul RM18 bilion, jumlah aset RM171.40 bilion serta perolehan berjumlah RM33.05 bilion.
“Walaupun jumlah koperasi melibatkan golongan wanita dan ibu tunggal adalah kecil, saya yakin platform koperasi adalah pilihan terbaik bagi wanita menceburi bidang keusahawanan dan perusahaan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Ewon turut memuji inisiatif Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas kejayaan menganjurkan festival tersebut dengan kerjasama Muslim World Biz, Sekretariat LeadHERship Ibu Zain dan Kelab Wanita Ikon Malaysia.
“Tahniah kepada KOPUTRI yang menerima Anugerah Koperasi Wanita.
“Selain hadiah yang diterima daripada penganjur, saya turut bersetuju agar geran Bantuan Pembangunan sebanyak RM30,000 turut disalurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai insentif dan galakan kepada koperasi wanita lain untuk turut mencetuskan kejayaan,” katanya.
Baca artikel lain: Ramanan serah bantuan RM1.4 juta kepada 8 koperasi komuniti India
Dalam usaha memperkasakan wanita dalam bidang koperasi dan keusahawanan, Ewon turut menggalakkan koperasi wanita menghantar ahli mereka melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
“Saya juga menjemput koperasi-koperasi wanita ini untuk menimbang menghantar pimpinan lembaga, pengurusan dan ahli-ahli melanjutkan pengajian ke UKKM bagi program diploma, sarjana muda, master dan doktor falsafah dalam bidang pengurusan perniagaan keusahawanan dan koperasi,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif khusus untuk usahawan wanita yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Agensi-agensi di bawah KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif khusus untuk wanita iaitu Pembiayaan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Skim Pembiayaan TEKUN Wanita, Program BRPlus-I dan BizLady oleh Bank Rakyat, Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh PERNAS dan Program UDA Bizznita dan Women SME Entrepreneurs.
“Usahawan-usahawan wanita juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai skim lain yang dilaksanakan oleh KUSKOP dan agensi-agensinya,” katanya.
Beliau juga berkongsi beberapa kisah kejayaan usahawan wanita yang ditemuinya sepanjang lawatan kerja di seluruh Malaysia, antaranya di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu.
“Saya berharap kejayaan usahawan-usahawan wanita itu yang bermula dari perniagaan kecil-kecilan kini menjadi usahawan berjaya dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk turut sama mencapai kejayaan dalam bidang koperasi dan keusahawanan.
“Anugerah yang diterima oleh KOPUTRI ini adalah bukti bahawa koperasi wanita mampu menjadi peneraju dalam sektor ekonomi.
“Saya berharap kejayaan ini juga akan menjadi pencetus semangat kepada lebih banyak koperasi wanita lain untuk terus berkembang dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

