Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

KOLEJ Poly-Tech MARA (KPTM) cawangan Semporna akan ditutup mulai tahun depan berikutan masalah kekurangan kemasukan pelajar yang berterusan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun MARA adalah agensi kerajaan, namun KPTM Semporna terpaksa menanggung semua operasinya sendiri.

“Kita sebenarnya serba salah juga mengenai isu ini kerana ia adalah tempat pelajar-pelajar bumiputra belajar, namun kita terpaksa melihat perkara ini (penutupan) ekoran tidak mencukupi sasaran pelajar.

“Kapasiti KPTM Semporna ini mempunyai kapasiti 600 orang namun sekarang kita hanya memiliki 169 pelajar sahaja,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembangunan Kondominium Signal Hill di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor. Hadir sama Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Mahdzir, KPTM juga tidak mempunyai peruntukan dari kerajaan dan perlu membayar sendiri gaji kakitangan termasuk tenaga pengajarnya yang membabitkan kos operasi yang tinggi.

Ditanya mengenai status pelajar yang masih berada di KPTM Semporna, Mahdzir menjelaskan, penuntut sedia ada akan menamatkan pengajian secara berperingkat.

Sementara itu Mahdzir berkata, MARA telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi membantu usahawan Bumiputera luar bandar di negeri ini yang menceburi bidang keusahawanan.

Beliau berkata, jumlah tersebut akan disalurkan kepada 500 usahawan melalui MARA daerah di wilayah itu.

“Tumpuan kita adalah bagaimana memperkukuhkan usahawan-usahawan Bumiputera luar bandar melalui pejabat-pejabat daerah MARA.

MARA juga ada bazar, lot-lot kedai dan Arked MARA yang diberikan sewa kepada usahawan-usahawan Bumiputera,” katanya.

Jelas Mahdzir, selain pendidikan, MARA dan KPLB juga memberi penekanan khusus kepada agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera di luar bandar.

“MARA adalah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang sangat mengambil inisiatif kepada program agenda keusahawanan bumiputera selain daripada pendidikan TVET,” katanya. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram