Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama pemenang-pemenang ketika hadir ke Majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di Kuala Lumpur, malam ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, wartawan adalah wira tidak didendang kerana sanggup bertugas ketika negara dan dunia diserang COVID-19.

Beliau berkata, para wartawan bertungkus lumus menyediakan maklumat berkaitan pandemik tersebut apabila mereka sanggup mengharungi bahaya, termasuk merisikokan diri kerana terdedah kepada jangkitan COVID-19.

“Semua ini dilakukan oleh para wartawan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat dan dapat mengikuti perkembangan semasa tanah air dan luar negara walaupun mereka terkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika menghadiri malam wartawan Malaysia 2021 anjuran Institut Akhbar Malaysia di Kuala Lumpur, malam ini.

Ismail Sabri berkata, tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan dan maklumat penting dapat disebar luas dengan cepat dan pantas termasuk sidang media COVID-19 yang dilaksanakan hampir setiap hari.

Katanya, oleh kerana sumbangan besar para wartawan kepada negara, beliau mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan sewaktu pandemik ini.

BERITA BERKAITAN Malam Wartawan Malaysia dan Hotel Istana KL

“Tugas saudara dan saudari semua bukan hanya untuk melaporkan berita panas dan hangat tentang politik (there is after all, no dull day in Malaysian politics) atau berita kemalangan, malapetaka, tragedi atau sensasi sukan dan hiburan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya melihat buku baharu MPI bertajuk “ Bisnes Media dan Prinsip Jurnalistik” ketika hadir ke Majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di Kuala Lumpur, malam ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Perdana Menteri berkata, wartawan menjadi mata dan telinga dalam membantu kerajaan memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk rakyat.

“Saudara dan saudari semua boleh membuat teguran yang bernas dan berasas bagi membantu kerajaan menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” tambahnya.

Katanya, media yang bebas dan terbuka, serta bertanggungjawab adalah mekanisme semak dan imbang yang menjadi teras konsep Keluarga Malaysia dan peranan tersebut hendaklah senantiasa dimantapkan.

“Saya juga mengharapkan bahawa jalinan persefahaman antara kerajaan dan media akan terus subur sehingga dapat menjalin kemesraan dengan dunia dan serantau,” katanya.

Beliau berkata, lawatanya ke Indonesia baru-baru ini membantu mengeratkan hubungan dengan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia atau ISWAMI yang telah terjalin sejak 2007 dan percaya kerjasama itu dapat memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung sesama wartawan kedua-dua negara.

“Saya berharap hubungan media dan wartawan Malaysia bersama rakan-rakan wartawan di negara jiran melalui ASEAN atau selainnya dapat diperkukuh dengan menjadikan ISWAMI sebagai model,” katanya.

Beliau malah mencadangkan agar satu rangkaian kerjasama serantau membabitkan para wartawan pada peringkat serantau dapat diperkasa demi memudahkan capaian kesefahaman antara negara-negara di rantau ini.

Katanya, media dan wartawan adalah rangkaian persefahaman secara tidak langsung, selain daripada hubungan diplomatik sedia ada.

Ismail Sabri juga mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional atau HAWANA, yang pertama kali telah dijayakan pada tahun 2018. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram