PERBADANAN Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan berperanan sebagai agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan selaras penjenamaan semula agensi itu di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga telah menetapkan bahawa semua latihan peningkatan dan kepelbagaian kemahiran diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu KSM yang dikendalikan HRD Corp bagi mengelakkan pertindihan.

“Usaha ini akan diterjemahkan melalui platform bersepadu atau ‘single window’ untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan.

Platform bersepadu ini akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun hadapan,” katanya ketika melancarkan jenama baharu HRD Corp dan platform sehenti Program Kemahiran Upskill Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan dijangka akan disertai 220,000 peserta menerusi pembiayaan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin HRD Corp yang dahulu dikenali sebagai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) mampu terus menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital, melalui pembangunan Keluarga Malaysia.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dua dimensi utama RMK-12, iaitu Pemerkasaan Ekonomi dan Perekayasaan Sosial sememangnya memerlukan inisiatif yang mencipta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk segenap masyarakat.

Beliau berharap HRD Corp akan dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang, selaras dengan misi agensi itu untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia melalui pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.

BERITA BERKAITAN Peruntuk RM28 juta bangunkan Pelan Strategik Pendigitalan – Mahdzir

“Menjadi harapan saya agar HRD Corp akan terus menyokong usaha pembangunan modal insan melalui lebih banyak program kemahiran, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Katanya, sejak penubuhannya pada 1993, HRD Corp telah memainkan peranan yang signifikan di dalam membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi melalui pelbagai skim latihan dan meningkatkan produktiviti bidang perindustrian negara.

Beliau berkata, peranan HRD Corp menjadi semakin penting sepanjang tempoh 18 bulan ini, apabila ia memperkenalkan pelbagai program untuk melindungi pekerjaan sedia ada dan mencipta peluang baharu untuk rakyat Malaysia.

“Ini termasuk program latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan, PENJANA HRDF. Diperkenalkan pada Jun 2020, program ini telah membantu hampir 100,000 peserta
menerusi 5 skim utama iaitu Place & Train, B40 Development, Gerak Insan Gemilang (GIG), Industrial Revolution 4.0 dan SME Development,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pada bulan Februari 2021, HRD Corp telah memperkenalkan hab pembelajaran dalam talian percuma, e-LATiH, yang kini mempunyai seramai 154,000 pelajar berdaftar dan 400,000 enrolment dalam lebih 400 kursus kemahiran pelbagai,” katanya.

Beliau berkata, HRD Corp juga telah melahirkan HRD Corp Placement Centre (HPC), portal sehenti pemadanan dan penempataan pekerjaan yang telah menyediakan hampir 40,000 penempatan pekerjaan semenjak April tahun ini.

“Di samping memperkenalkan inisiatif-inisiatif strategik yang baharu, HRD Corp terus memperkasa fungsi utamanya, iaitu pengumpulan levi dan pengagihan dana untuk program latihan kemahiran oleh majikan berdaftar,” katanya.

Ismail sabri berkata, sepanjang tahun lalu, HRD Corp telah mengagihkan hampir
RM420 juta untuk program latihan kemahiran majikan berdaftar yang merangkumi lebih daripada 416,000 pekerja yang menjalani pelbagai skim latihan kemahiran.

Pada tahun ini, jumlah pungutan levi dijangka mencecah RM680 juta dan sebahagiannya telah digunakan untuk melatih 500,000 pekerja.

“Ia selaras dengan perluasan Akta PSMB 2001 yang menyaksikan peningkatan majikan berdaftar dengan HRD Corp daripada 33,000 majikan kepada 65,400 majikan. Jumlah ini menunjukkan peningkatan lebih 96%, melibatkan hampir 4 juta pekerja dalam tempoh setahun,” katanya. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram