Datuk Seri Mahdzir Khalid mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Langgong, Kanowit, Sarawak, hari ini.

SEBANYAK enam daerah di kawasalan pedalaman Sarawak menerima bekalan elektrik menerusi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Talian Grid Seluruh Sarawak.

Enam daerah berkenaan adalah Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu dan Miri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek BELB di keenam-enam daerah tersebut menelan belanja lebih RM193 juta.

“Projek bekalan elektrik itu bermula pada April 2018, melibatkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur untuk membekalkan bekalan elektrik kepada penduduk luar bandar di enam daerah di negeri Sarawak.

“Projek ini juga merupakan penambahan kepada sistem grid sedia ada milik Syarikat SESCO Berhad (SEB) bagi talian voltan 33 KV dan ke bawah, meliputi penyambungan ke rumah penduduk, rumah ibadat, dewan, sekolah dan fasiliti kerajaan serta balai raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Langgong, Kanowit, Sarawak, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun.

Jelas Mahdzir, sebanyak 22 pakej terlibat dalam projek BELB tersebut iaitu enam pakej di Bintulu, lima di Mukah, empat di Miri, tiga di Sibu dan masing-masing dua di Sarikei dan Kapit.

Penduduk di Rumah Langgong tidak melepaskan peluang bergambar bersama Datuk Seri Mahdzir Khalid

Baca artikel berkaitan: KPTM Semporna ditutup tahun depan kerana kurang pelajar – Mahdzir

Katanya, pakej-pakej itu telah dikenal pasti oleh pihak Kementerian Utiliti Sarawak (KUS), melibatkan sejumlah 1,855 buah rumah dengan anggaran 9,275 orang penerima manfaat.

Bagi pakej projek yang melibatkan Rh. Langgong, Mahdzir berkata, ia mempunyai 13 rumah panjang, satu sekolah dan 59 buah rumah individu telah dimulakan pada September 2018 dan penduduk mula menerima bekalan elektrik pada Februari 2020.

“Ia melibatkan jumlah keseluruhan 242 buah rumah dan 1,210 orang penerima manfaat, dengan kos pembinaan lebih RM10.6 juta.

“Bagi tahun 2022 pula, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam tindakan untuk melaksanakan lima lagi projek BELB Sistem Solar Hibrid di Sarawak iaitu dua di kawasan Telang Usan dan masing-masing satu projek di kawasan Marudi, Katibas, dan Long Busang, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM350 juta,” jelas beliau.

Projek itu menurut Mahdzir, melibatkan 1,500 buah rumah dan 7,500 orang penerima manfaat, dalam usaha kerajaan untuk memastikan setiap penduduk luar bandar dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari.

“Skop projek BELB Talian Grid tidak melibatkan pemasangan meter dan pendawaian dalam rumah (IHW). Walau bagaimanapun, Sarawak Energy Berhad (SEB) ada menyediakan Assisted Wiring Scheme (AWS) untuk membantu pemohon luar bandar menyiapkan pendawaian dalaman rumah.

“Bagi permohonan mendapatkan bekalan elektrik untuk rumah-rumah yang baru dibina, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Utiliti Sarawak (KUS) untuk semakan dan penilaian lanjut Kementerian tersebut, sebelum senarai penuh dikemukakan kepada KPLB untuk tindakan,” jelas Mahdzir.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram