Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani (kanan sekali) beramah mesra dengan Datuk Seri Khalid Mohamad jiwa (dua dari kiri) ketika hadir merasmikan Majlis Pelepasan Program KayuhLasak Shapadu-KBS Putrajaya 2021 di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memperbanyakkan usaha kerjasama dengan pihak swasta untuk membudayakan sukan dan industri sukan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hanya dengan cara itu KBS dapat mengadakan lebih banyak program bukan sahaja sukan-sukan lasak, malah sukan lain.

Menurutnya, jika tidak bekerjasama dengan KBS, pihak swasta juga dialu-alukan untuk mengadakan program sukan sendiri.

“KBS amat mengalu-alukan penglibatan pihak swasta kerana hanya dengan cara ini kita dapat mengadakan lebih banyak program bukan sahaja sukan-sukan lasak dalam apa juga sukan.

“Jadi untuk masa-masa yang akan datang ini, saya akan mempergiat dan memperbanyakkan lagi usaha kerjasama dengan swasta malah rentas kenegerian dengan pihak lain untuk membudayakan sukan dan usaha untuk membangunkan industri sukan yang kita sedang usahakan dengan giat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan KayuhLasak Shapadu 2021 di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Ahmad Faizal dalam pada itu berkata, beliau berharap program KayuhLasak Shapadu 2021 dan seumpamanya dapat diteruskan dan diperbanyakkan lagi.

Ujarnya, ia sebagai usaha KBS mengekalkan rakyat Malaysia kekal cergas dan kekal aktif.

“Dalam masa sama juga, ini salah satu usaha untuk kita mendapatkan lebih banyak aktiviti di Putrajaya yang sebenarnya amat menarik dan cukup gemar dikunjungi oleh semua dari dalam dan luar negara.

“Terima kasih juga kepada pihak Shapadu yang telah mengeluarkan perbelanjaan yang cukup besar dan juga melakukan kempen agar program ini berjaya dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan,” tambahnya.

Acara KayuhLasak Shapadu 2021 yang julung-julung kali diadakan mendapat sambutan hangat apabila disertai seramai 530 peminat aktiviti sukan berbasikal lasak dari dalam negara.

Perlumbaan sejauh 40 kilometer itu bermula di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Putrajaya dan disertai peserta daripada pelbagai lapisan usia, kaum dan jantina.