Mana Mungkin Hanya Nabi Dan Rasul Sahaja Yang Dituntut Melakukannya. Jika Tidak Kita, Siapa lagi?

Dari Penulis

Perhatikan ayat-ayat al-Quran yang menyeru kepada rasul itu ada beberapa perkara. Ayat yang menyeru agar Rasulullah menyampaikan itu juga termasuk ayat perintah ke atas rasul untuk makan yang baik dan halal serta melakukan amal soleh.

Contohnya dalam surah Al-Mukminun: 51,

Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Daripada segi konteks ayat itu dan dirujuk kepada kitab tafsir, ia merujuk kepada Nabi Isa sebenarnya. Allah memerintahkannya makan makanan yang halal hasil tenunan bulu-bulu yang dilakukan oleh ibunya.

Jika rasul pun diperintahkan mencari makanan yang halal dengan usaha sendiri apatah lagi kita manusia biasa tanpa darjat. Maka manusia lebih-lebihlah lagi dituntut mencari makanan yang halal dengan usahanya sendiri.

Kalau kita faham ayat itu hanya ditujukan kepada rasul saja apa akan terjadi kepada umat manusia? Sudah tentu, hancur hidup umat manusia jika terkecuali daripada perintah itu. Sebenarnya ramai yang silap mentafsirkan ayat tadi dengan mengatakan bahawa perintah itu hanya kepada rasul saja.

Namun jika mengikut perbincangan Imam Qurtubi, khususnya lafaz itu kepada Rasul menunjukkan umumnya kepada umat Nabi. Itulah kaedah dalam al-Quran apabila melihat kepada lafaz khusus kepada rasul adalah umum kepada umatnya.

Hikmahnya apabila Allah perintahkan kepada para rasul mengapa umatnya harus membantah? Dalam perintah agar mengambil makanan yang halal dan baik pada ayat-ayat yang lain banyak ditujukan kepada umat Islam.

Sebenarnya tanggungjawab itu lebih banyak kepada umatnya berbanding perintah itu hanya satu saja yang ditujukan kepada rasul. Sedangkan para nabi sudah dijanjikan maksum oleh Allah seperti yang disebut dalam surah al-Maidah bahawa Allah telah memelihara para rasul daripada kejahatan (maksum) manusia kalaupun tidak menyampaikan.

Tapi, kita manusia yang tidak dijanjikan maksum oleh Allah, kalau kita tidak menyampaikan siapalah kita? Dan, ia akan menjadi satu dosa kalau Rasulullah tidak menyampaikan atau menyembunyikan.

Sedangkan Rasulullah pun dihukumkan begitu apatah lagi umatnya yang tidak punya apa-apa darjat langsung. Maka kewajipan menyampaikan perkara berfaedah adalah lebih utama.

Menurut Imam Nawawi, mengikut adab menyampaikan ilmu, apabila tidak disampaikan maka dia telah menyembunyikan suatu perkara yang benar.

Ada satu ayat lagi yang diperintahkan ke atas Rasulullah s.a.w. tapi juga menjadi umum kepada umatnya. Perintah berjihad dan tidak patuh ke atas kehendak orang kafir. Hal itu disebut dalam surah al-Ahzab: 1,

Wahai Nabi! Tetaplah bertakwa kepada Allah dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Setiap orang diwajibkan untuk menyampaikan seruan dakwah

Kemudian dalam surah al-Tahrim; 9,

“Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik serta bertindak keras terhadap mereka dan sebenarnya tempat mereka ialah neraka jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

Ayat itu diambil sebagai contoh  untuk menerangkan perintah dalam pelbagai konteks. Sebelum itu diperintah sampaikan dalam aspek akidah, syariat dan hukum hakam kemudian konteks memilih makanan yang halal serta baik.

Ayat al-Quran berikutnya adalah tuntutan kepada Rasulullah untuk berperang dan tidak patuh kepada orang kafir. Dalam konteks sebagai orang beriman, kena faham kaedah tafsir ayat lafaz khusus dan umum tadi.

Adakah Rasulullah s.a.w. saja yang diperintah untuk bertakwa kepada Allah? Bagaimana orang yang darjatnya lebih rendah daripada rasul? Adakah kita tidak perlu berperang, sedangkan kesatuan topik ini kita nampak bahawa walaupun ayat itu diturunkan kepada nabi namun umatnya tidak terkecuali.

Rasulullah s.a.w. diperintahkan agar menyampaikan kepada umatnya. Dalam ayat, “Wahai nabi bertakwalah…” dalam tafsir dikatakan wahai nabi beritahulah kepada umatmu supaya bertakwa.

Begitu juga pada seruan yang disampaikan dalam surah Al-Muzzammil; 1-2,

Wahai orang yang berselimut. Bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat).”

Ayat itu memang ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. iaitu kewajipan melakukan solat tahajud. Namun lama-kelamaan apabila ada umat yang hendak mengikut amalan Rasulullah,  ia menjadi satu amalan sunah.

Pada Nabi s.a.w., ia adalah wajib namun pada umatnya, amalan itu menjadi sunat kerana kita tidak mampu untuk sampai ke darjat Baginda s.a.w.

Pun begitu, dalam konteks seruan wahai nabi, wahai orang beriman dan wahai manusia serta banyak lagi wahai,  ia adalah satu isyarat. Seruan itu bagaikan satu loceng peringatan untuk kita sedar apakah sebenarnya seruan yang Allah hendak berikan kepada manusia.

Ada ulama berpendapat apabila sampai ayat seruan membawa maksud supaya sentiasa bersedia dengan apa saja yang Allah hendak beri, larangan atau perintah. Seruan adalah satu perkara untuk menyedarkan kita dan bertindak.

Rasulullah s.a.w.  berdakwah bukan lebih dengan kata-kata tetapi banyak kepada mempamerkan perilaku yang baik. Perlakuan yang baik pun termasuk kepada maksud sampaikan. Banyak sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. merupakan dakwah paling berkesan. Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This