Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan orang ramai di kawasan perniagaan India Street di Kuching hari ini./ Gambar FB Muhyiddin Yassin.

“JANGAN pangkah Ali Biju.” Itu peringatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pengundi Krian agar tidak memangkah calon Bebas Datuk Ali Biju pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 Sabtu ini. 

Beliau berkata sebaliknya, sokongan padu perlu diberikan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik meskipun nama Ali terpapar di kertas undi.

“Perkara itu sudah dijelaskan oleh Ali Biju… beliau tidak bertanding. Jadi beliau sudah beritahu pengundi jangan pangkah dia dan saya pun cakap sekarang ini, jangan pangkah dia. Kita perlu berikan undi kepada GPS untuk kerusi itu (Krian),” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negeri edisi Sarawak hari ini. 

Pada 6 Disember lepas, Ali yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak mengesahkan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri Krian sebagai calon Bebas sebelum mengumumkan menarik diri dan meminta penyokongnya menyokong Friday pada PRN itu.

Baca: PRN Sarawak: Ali Biju umum tarik diri

Kabinet setuju tubuh Majlis Pemulihan Negeri – Muhyiddin

Muhyiddin turut mengesahkan tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding dalam PRN Sarawak atas tiket calon Bebas telah digugurkan keahlian secara automatik susulan tindakan mereka yang bercanggah dengan perlembagaan parti. 

Mereka ialah Siki Balarik yang bertanding di Belaga, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan).

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram