MALAYSIA menyeru semua pihak menurunkan ketegangan dan menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan pada ketika ini dalam menangani konflik berkenaan.
“Malam tadi saya berhubung dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan yang semakin meruncing di Asia Barat susulan siri serangan yang menggugat kestabilan rantau tersebut.
“Saya menyatakan solidariti Malaysia terhadap Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu, menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan rantau itu ketika ini.
“Menyentuh insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk Almarhum Ali Khamenei, saya tegaskan bahawa peristiwa ini berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.
“Kami senada bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Menyentuh perkembangan isu Palestin, Anwar menyatakan penghargaan terhadap Turkiye dan beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat.
“Pendirian Malaysia jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu adalah pencabulan undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

