UMNO disifatkan akan terus menjadi wadah anak bangsa yang memayungi kesejahteraan serta kejayaan negara berdaulat ini.
Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara, esok.
Menurut Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, ia juga sejajar dengan perjuangan parti itu yang mengutamakan agenda rakyat.
Sehubungan itu, Ismail Sabri turut mengajak semua ahli UMNO membulat tekad supaya parti tersebut sentiasa dipelihara dengan semangat menjunjung kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah air.
“Selamat bersidang kepada semua perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara.
“Sebagai parti yang mengutamakan agenda rakyat, UMNO akan terus menjadi wadah anak bangsa yang memayungi kesejahteraan negara serta kejayaan negara berdaulat ini.
“Bersama kita membulat tekad agar parti keramat UMNO sentiasa dipelihara dengan semangat menjunjung kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Sokongan mantap perlu dizahirkan kepada PM – Annuar Musa
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan diadakan secara serentak seluruh negara, esok.
Sebelum ini, Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian telah pun diadakan secara serentak pada 11 serta 12 Disember lalu.
UMNO telah menetapkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 diadakan pada tahun hadapan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, 29 September lalu.
Semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sudah bersetuju mengenai penangguhan pemilihan parti sehingga 29 Disember 2022.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

