RAKYAT Malaysia sangat baik hati.
Demikian antara kenyataan dizahirkan perakam video yang menunjukkan situasi dan sumbangan orang ramai di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dipercayai di Selangor.
Jelas musibah banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor mendorong pelbagai pihak bersatu di bawah semangat Keluarga Malaysia dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.
Dalam video berdurasi 1 minit dan 48 saat itu, perakam video menunjukkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum membantu dalam menyelaras bantuan selain menyediakan juadah buat mangsa banjir.
Menurutnya, rakyat Malaysia terlalu baik sehingga pelbagai jenis bantuan diterima mangsa banjir tanpa henti-henti.
Lebih mencuit hati, perakam video berkenaan kehilangan kasutnya dan dia reda dengan kehilangan barangan peribadinya itu.
Katanya, dia datang di premis itu pada pukul 6.30 pagi dan selepas lima jam kemudian keadaan masih sibuk.
“Masyarakat Malaysia amat bersatu padu dan baik hati. Orang India, Cina dan Melayu saling membantu antara satu sama lain tiada ‘perbezaan’ di sini,” katanya.
Tambahnya, dia meminta orang ramai yang berkelapangan agar datang membantu mangsa banjir.
Banjir yang berlaku pada hujung minggu lalu mengakibatkan puluhan ribu penduduk dipindahkan, banjir terburuk melanda Lembah Klang sejak 1971.
Setakat ini, Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 24 mangsa dengan kebanyakannya kematian dicatatkan di Taman Sri Muda, Shah Alam.

