
KERAJAAN menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak susulan penularan jangkitan COVID-19 di Arab Saudi, khususnya membabitkan varian Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika mengumumkan keputusan itu berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Bagaimanapun, bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini hingga 7 Januari depan, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel seperti dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan bencana Negara (NADMA) apabila tiba di Malaysia.
Menurutnya, langkah itu juga diambil susulan 1,446 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan individu yang tiba dari Arab Saudi.
“Hasil mesyuarat sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, untuk makluman, bermula 13 Oktober 2021, kumpulan pertama jemaah umrah dari Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah dan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi tujuan itu dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara pada 18 Oktober 2021.
“Sehingga 20 Disember 2021, seramai 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif Covid-19.
“Daripada jumlah itu, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan positif pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin,” katanya.
BERITA BERKAITAN 55 jemaah umrah Malaysia dikuarantin di Mekah kerana positif COVID-19
Dalam kenyataan hari ini, Khairy berkata pada 31 Disember 2021, dua lagi kes COVID-19 membabitkan varian Omicron disahkan, menjadikan keseluruhan kes melibatkan varian itu sebanyak 64 kes, dengan 63 adalah pengembara dan satu kes disyaki penularan tempatan.
Menurutnya, daripada 64 kes Omicron itu, 32 kes atau 50 peratus membabitkan jemaah yang pulang dari Arab Saudi setelah mengerjakan umrah.
“Sehingga 30 Disember 2021, terdapat sembilan kluster yang tercetus melibatkan jemaah umrah iaitu lima kluster membabitkan kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron; satu kluster melibatkan kes indeks disyaki Omicron; dan tiga kluster kes indeks COVID-19 bukan Omicron,” katanya.
Perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara ketika di Arab Saudi mendedahkan mereka kepada risiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19, termasuk varian Omicron. Situasi ini menyukarkan jemaah mematuhi SOP umrah yang ditetapkan Kerajaan Malaysia, katanya.
Khairy berkata jemaah umrah juga berkemungkinan telah dijangkiti ketika berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan sebelum bertolak pulang ke Malaysia masih negatif.
“Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari menggunakan empat penerbangan khas, meningkatkan lagi risiko pengimportan kes COVID-19 dan varian Omicron ke dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin.
“Namun apabila berlaku ketidakpatuhan kepada SOP ditetapkan, kes-kes positif Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.
“Ketidakpatuhan kepada SOP kuarantin di rumah atau tempat kediaman juga telah mendedahkan ahli keluarga serumah atau jiran tetangga dan sanak saudara yang datang menziarah, kepada jangkitan COVID-19 .
“Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan boleh dikenakan mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.
Sehubungan itu katanya, penangguhan sementara aktiviti umrah dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19 .
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram