Tahun 2022 yang amat mencabar, bersedialah memasuki zaman kelam

Dari Penulis

SAYA pilih tajuk ini sebagai rencana bagi bacaan kita semua menyambut kedatangan tahun baharu, tahun 2022.

Tiada apa yang menceriakan menyambut kedatangan tahun baharu ini. Yang pasti, ia adalah tahun yang jauh lebih mencabar berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Di peringkat global, empat isu utama ini amat menakutkan kita semua:

i. Kemunculan varian baharu COVID-19 akan merencatkan apa juga hasrat kita semua untuk kembali ke kehidupan normaliti. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memikirkan untuk melaksanakan suntikan penggalak kedua, malah ada negara sudah merancang untuk laksanakan suntikan penggalak ketiga.

ii. Kekurangan kedapatan kapital (dana) di pasaran akan memaksa kenaikan kadar faedah di samping kesukaran memperolehi dana memulihkan bisnes yang sudah lumpuh.

iii. Rantaian bekalan global akan mengalami peningkatan kos disebabkan kenaikan mendadak kos input utama, dan

iv. Ketegangan geopolitik akan berterusan sekalipun kuasa-kuasa besar tahu dunia masih bergelut dengan kegawatan ekonomi dan wabak Covid-19.

Tidak perlulah dalam rencana ini saya huraikan setiap satu cabaran itu. Kita semua amat arif mengenainya.

Baca artikel berkaitan: COVID-19: Malaysia sambut tahun 2022 dengan 3,386 kes baharu

Bagi keadaan di Malaysia, cabaran tahun 2022 akan lebih sengit. Di samping empat cabaran global itu, kita berdepan beberapa cabaran domestik yang sengit:

a. Ketidaktentuan politik terus menghantui kita semua.

Malaysia tidak memerlukan penganalisis politik tersohor untuk menceritakan ketidaktentuan dan kekalutan politik negara. Setiap orang daripada kita mampu luahkan kekecewaan masing-masing tanpa perlu sebarang analisis mengenai isu ini.

Yang Malaysia perlukan ialah satu perubahan yang paling radikal terhadap sistem politiknya bagi menggantikan sistem yang ada yang amat membebankan rakyat dan negara.

Sistem politik yang ada menjadikan ia satu cabang bisnes, bukan kepimpinan. Ia menarik minat ramai menyertainya, bukan untuk menjadi pemimpin tetapi menjadikan misi kepimpinan mereka sebagai satu bisnes. Itu sebabnya sistem kepimpinan di Malaysia terlalu tinggi kosnya.

Dengan institusi Raja-Raja Melayu akan terus dikekalkan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, negara ini akan terus dibebankan dengan kos pemerintahan yang amat tinggi, yang pastinya akan mengikis segala sumber khazanah negara yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Malaysia hanya memerlukan seorang Perdana Menteri, bukan 222 Ahli Parlimen, manakala setiap negeri hanya memerlukan seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri, bukannya puluhan ADUN.

Fikir-fikirkanlah perkara ini demi masa depan cucu cicit kita semua.

b. Kartel ekonomi hitam yang semakin bekuasa

Datuk Hussamuddin Yaacub (Karangkraf) dengan Rasuah Busternya, MPM dengan Gerakan Jihad Rakyatnya. Semua itu hanyalah usaha rakyat yang sia-sia, kononnya cuba membasmi rasuah, salah guna kuasa dan kegilaan kuasa dalam kalangan pemimpin dan penjawat awam. Adakah ini petanda bahawa mereka dalam kalangan pemegang amanah sudah “dikuasai” oleh kartel ekonomi hitam yanag menjadi dalang kepada gejala-gejala itu? Jika petanda itu benar, maknanya sampai akhir zaman pun usaha rakyat itu akan sia-sia.

Tatkala setiap sen wang rakyat amat bernilai, ketirisan disebabkan gejala-gejala itu akan berterusan, mengaut setiap sen itu. Ia sekaligus menafikan hak rakyat untuk hidup makmur dalam negara yang mempunyai dasar Wawasan Kemakmuran Bersama.

c. Sistem penyampaian awam dan korporat semakin lemah.

Bencana banjir yang sedang melanda negara dan meragut hampir 50 nyawa, memaparkan kepada kita semua betapa teruknya sistem penyampaian awam pada saat ini. Ia juga bukan satu bencana banjir biasa. Ia adalah bencana yang tercetus hasil daripada kerosakan alam sekitar dan pembangunan yang berimpak negatif. Cetusan ini juga memaparkan kecacatan kepada sistem penyampaian negara ini. Masing-masing perhalusilah sendiri akan setiap kecacatan yang dilakukan oleh banyak pihak.

Yang amat memalukan, ada di antara video paparan beberapa pelakon pemimpin negara menangani bencana ini turut menjadi bahan lawak berita di saluran media, termasuk di beberapa negara asing. Pun mereka ini masih tiada rasa malu untuk mengakui kebodohan masing-masing dan berundur. Malah tiada siapa pun rasa berdosa ke atas kehilangan nyawa yang begitu ramai serta kerosakan kepada harta benda rakyat dan awam yang amat besar nilainya. Maknanya, tiada siapa yang bersalah berkaitan kecuaian dalam cara kita menangani bencana ini.

d. Ekonomi menguncup, pengangguran meningkat.

Dengan tiga petanda di atas itu tidaklah diketahui pelabur asing manakah yang masih melihat negara ini sebagai “investment heaven” seperti mana diiktiraf di era Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

DEB telah dikuburkan oleh tangan-tangan hitam dalam kalangan pemimpin kita sendiri dan diganti dengan beberapa dasar lain selepas itu. Pun, hingga kini masih ramai yang menyalahkan DEB.

Apabila DEB diganti dengan pelbagai dasar baharu, pelaburan langsung asing (FDI) kian menurun. Malah pelabur yang ada pun sudah mula angkat kaki. Lebih malang ialah apabila pelaburan langsung domestik (DDI) pelabur tempatan pun mula berhijrah ke negara-negara jiran yang kini jauh lebih selesa dan menarik iklim pelaburannya.

Dengan kadar pelaburan yang kian menurun, diparahkan lagi tenaga kerja berpendidikan yang tidak dilatih kemahirannya untuk memiliki bakat atau kemahiran yang diperlukan oleh industri, kadar pengangguran terus meningkat.

Bersedialah kita semua untuk melalui terowong “dark ages”, kecuali kita mampu melakukan “the great renaissance’, untuk menjadikan tahun 2022 ini lebih makmur.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor titik mula transisi kepimpinan lebih muda

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah pun dipalu mulai Sabtu lalu. Proses penamaan calon diikuti kempen selama dua minggu...

More Articles Like This