KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menasihatkan supaya peniaga makanan tidak menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya pada pembungkusan makanan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan, pembungkusan makanan menggunakan bahan tersebut boleh menyebabkan kecederaan serius sekiranya termasuk dalam makanan dan ditelan pengguna.
Pada masa sama, kata beliau, orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan.
Beliau berkata, KKM mengambil maklum isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang telah tular dalam media sosial baru-baru ini.
Dr. Noor Hisham menegaskan, peniaga yang menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpamanya boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
“Hukuman yang lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan.
“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: KKM siasat kesan imunisasi serius banduan Penjara Kajang
Dr. Noor Hisham turut mengingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.
Katanya, penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata, ia kerana sudah terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan membungkus makanan dengan baik.
“Pengguna pula boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika menjumpai makanan yang dibungkus menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya serta lain-lain isu berkaitan keselamatan makanan,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram