LEBIH 9.6 juta penerima mendapat manfaat Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu meningkat daripada 8.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun lalu.
“Bagi mengurangkan golongan yang tercicir, data yang berikut akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena pendaftaran Bantuan Keluarga Malaysia Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Jalan Duta, hari ini.
Data itu ialah penerima BPR 2021, penerima Bantuan Khas COVID (BKC) B40 2021 dan pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin.
Data agensi kerajaan yang lain merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, penghuni perumahan awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Orang Asli di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli.
Pada masa sama, data itu merangkumi gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sehingga 7 Januari lalu, LHDN menerima sebanyak 1,429,262 permohonan baharu dan daripada kemas kini BKM.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 355,071 adalah permohonan baharu manakala 1,124,191 adalah permohonan kemas kini BKM,” ujarnya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, tempoh pendaftaran baharu dan kemas kini BKM ialah mulai 1 hingga 31 Januari 2022.
Katanya setakat ini direkodkan juga hampir 95 peratus daripada permohonan baharu dan kemas kini dibuat secara dalam talian.
Beliau menambah penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat juga berpeluang untuk membuat pengemaskinian.

