TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala bantuan kepada mangsa banjir hendaklah disalurkan secepat mungkin.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, ini kerana mangsa banjir sangat memerlukannya lebih-lebih lagi menjelang Thaipusam dan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang.
“Pastinya bantuan ini sedikit sebanyak memberi sinar kegembiraan kepada mereka yang akan merayakannya.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada frontliners, para sukarelawan dan orang perseorangan yang berterusan membantu mangsa banjir ini.
“Jasa dan sumbangan anda semua sungguh besar nilainya dan tidak terbalas,” kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menerusi Facebook beliau hari ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, apa yang menjadi harapan mereka adalah bantuan pasca banjir dapat diteruskan selepas musibah ini berakhir.
“Bantuan yang diperlukan termasuklah kerja-kerja membersihkan rumah, membaiki kerosakan dan kemusnahan serta menyediakan tempat tinggal sementara bagi mereka yang kehilangan tempat berlindung,” jelasnya.
Baca: Maklumat bantuan banjir perlu disebar dengan lebih sistematik – Muhyiddin

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau hari ini meluangkan masa meninjau sembilan Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir dalam Parlimen Pagoh.
Katanya, PPS tersebut adalah Durian Chondong yang menempatkan 15 keluarga, Felda Sri Jaya (10), Sekolah Agama Penchu (10), SJKC Kung Yu, Kundang Ulu (36), Sek. Agama Bukit Rahmat (21), SK Bukit Rahmat (31), SJKC Pei Eng (34), SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1 (80) dan Dewan Serbaguna Pagoh (31 keluarga).
“Walaupun keadaan cuaca sudah baik dan tidak lagi hujan, masih ada mangsa banjir yang perlu berlindung di PPS kerana kawasan atau rumah mereka masih digenangi air.
“Sepanjang berbual dan menyantuni mereka, rata-rata melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan dan layanan yang diterima ketika berada di pusat penempatan sementara ini.
“Keperluan asas seperti makanan, pakaian serta penjagaan kesihatan terjaga,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

