BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh meninggal dunia pada usia 61 tahun petang ini.


BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh meninggal dunia pada usia 61 tahun petang ini.

Memetik laporan Astro Awani, perkara itu disahkan oleh kru Astro Arena yang memaklumkan, Serbegeth atau lebih mesra dikenali sebagai Shebby jatuh pengsan dipercayai akibat sesak nafas ketika berbasikal di Kledang, Johor.

Shebby memulakan kerjaya di gelanggang bola sepak sebagai pemain bahagian pertahanan bagi pasukan Johor FA sebelum berpindah ke pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada 1983.Dilahirkan pada 20 Ogos 1960, Shebby berasal dari Kluang, Johor. 

Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan FA dan Pahang FA sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak FA pada tahun 1996.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994 serta membantu skuad negara mengutip pingat emas Sukan SEA pada 1989 dan gangsa pada Sukan SEA 1985.


Mula menyarung jersi negara dalam kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 caps sehingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.


Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.


Bukan sahaja pernah berkhidmat dalam mengendalikan pasukan kebangsaan, bahkan mendiang juga adalah Penasihat Global Blackburn Rovers pada 2012.


Mendiang Shebby meninggalkan bekas isteri Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh.