Ibu tunggal, Norismah Ismail (dua, kanan) bersama anak-anaknya kelihatan gembira di hadapan rumah baharu mereka selepas menerima kunci rumah sumbangan dari Projek Baiti Jannati TNB semalam

TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah membelanjakan hampir RM40 juta untuk membaik pulih, membina atau membiayai pembelian lebih 879 rumah menerusi Projek Baiti Jannati (PBJ).

Projek Baiti Jannati adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB untuk berkongsi kemakmuran dengan rakyat sejak tahun 2007.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pandemik COVID-19 tidak menghalang TNB meneruskan inisiatif PBJ di seluruh Semenanjung dalam usaha membantu kerajaan menyediakan kediaman lebih eselesa kepada golongan memerlukan.

Menurut beliau, pelaksanaan PBJ merangkumi usaha membaiki, membeli atau membina kediaman golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf terpilih.

Katanya, ia meliputi ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin dengan menggunakan sumber wang zakat perniagaan TNB yang dikembalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri.

“Bersama-samalah kita doakan agar kemudahan ini dapat diteruskan dengan TNB terus berjaya mempelopori perniagaan elektrik.

“Kalau TNB maju, sudah tentu kita pastikan pulangan diberi dan dikongsi bersama rakyat kerana TNB adalah satu organisasi yang dekat dengan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Banjir: Rebat 100 peratus bil TNB bulan Disember – PM

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Zolkafly Harun (tiga, kanan) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (tiga, kiri) menyampaikan replika kunci kepada penerima bantuan Norismah Ismail, balu kepada Allahyarham Norazam Abdul Rahman di Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB di Kg Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah, Perak, semalam.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, TNB juga terbuka untuk mengkaji peruntukan yang sesuai bagi pelaksanaan PBJ lebih-lebih lagi dalam suasana sukar ketika ramai bergelut dengan hutang atau sewa rumah.

Baharin memaklumkan, PBJ dapat menghapuskan kebimbangan yang meningkat terhadap keupayaan ketua isi rumah menyediakan tempat perlindungan secara berterusan kepada keluarga masing-masing.

“Besarlah harapan TNB agar penerima rumah PBJ dan keluarga masing-masing, tabah menghadapi ujian dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

“TNB sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat terutama susulan pandemik COVID-19 yang banyak memberi kesan kepada rakyat,” jelas beliau.

Sementara itu, salah seorang penerima, Norfatihah Norazam, 19, menahan sebak sewaktu mengucapkan terima kasih bagi pihak ayahnya yang meninggal dunia tiga bulan lalu ketika rumah mereka sedang dibina TNB di Kampung Tersusun Sungai Terap, Batu Gajah, Perak.

Mewakili keluarganya berucap di majlis kesyukuran menerima rumah PBJ TNB semalam, anak sulung Allahyarham Norazam Abdul Rahman itu menceritakan betapa hasrat ayahnya tidak kesampaian untuk menikmati kediaman selesa berkenaan.

Norazam adalah antara 11 keluarga menerima rumah baru di Perak bagi tahun 2021, sekali gus menjadikan 128 keluarga di negeri itu menikmati pemberian rumah atau rumah dibaik pulih di bawah projek berkenaan dengan nilai hampir RM5.8 juta sejak 2008.

Balu Norazam, Norismah Ismail, 49, menerima kunci rumah baharunya yang diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak (InTap), Datuk Zolkafly Harun sambil disaksikan Baharin.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram