Megat Zulkarnain Omar Din menyerahkan bantuan YBR kepada mangsa banjir di Serdang dalam satu majlis hari ini./ Gambar YBR

YAYASAN Bank Rakyat memperuntukkan sebanyak RM10,600 kepada 53 keluarga yang terjejas akibat banjir di sekitar Serdang pada 17 Disember lalu.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, bantuan sebanyak RM200 disumbangkan kepada setiap keluarga yang telah dikenal pasti melalui Kelab Rekreasi Wanita Muda Puchong.

“Inisiatif sebegini merupakan usaha YBR untuk membantu mereka yang memerlukan dan akan mengusahakan lebih banyak bantuan bagi meringankan beban mereka yang terkesan di kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Turut hadir bagi penyerahan ini adalah wakil penduduk Serdang, Datuk Dr. Mohamed Satim Diman.

Menurut Megat Zulkarnain, disasarkan bantuan kali ini adalah sebanyak RM100,000 bagi membantu mangsa banjir di sekitar Selangor.

Katanya, dua lagi lokasi yang mendapat perhatian YBR untuk penyaluran bantuan kepada mangsa banjir ialah di kawasan Hulu Langat dan Shah Alam/Klang.

Baca: YBR sumbang mesin bantuan pernafasan kepada Ainur Nuraisyah

34 graduan tajaan Yayasan Bank Rakyat terima Anugerah Kecemerlangan Anggota

“Pihak kami amat bersimpati dengan mereka yang terkesan akibat bencana ini dan diharapkan dengan bantuan yang diberikan dapat membantu mereka yang terkesan dalam menyediakan keperluan asas pasca banjir,” jelasnya.

Ditambah situasi wabak COVID-19 yang masih belum pulih, kata beliau, diharapkan dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak membantu mereka yang terkesan menghadapi saat-saat sukar untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa bencana.

Pada tahun 2022, Yayasan Bank Rakyat telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.