Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bertekad untuk terus melaksanakan tanggungjawab membanteras gejala rasuah. GAMBAR: Abd Razak Aid

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bertekad untuk meneruskan tanggungjawab membanteras rasuah tanpa mengira darjat atau pangkat.

Perkara itu ditegaskan Azam susulan kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bahawa tiada kepastian secara muktamad bahawa terdapat pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) melibatkan pemilikan saham dikaitkan dengannya.

Menurut Azam, beliau juga telah dimaklumkan oleh SC bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan.

Oleh yang demikian, kata beliau, SC telah pun menutup fail inkuiri tersebut.

“Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh SC yang telah mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh saya.

“Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Tiada kepastian muktamad Azam Baki langgar Seksyen 25(4) – SC

Terdahulu, SC dalam kenyataan memaklumkan, tiada kepastian secara muktamad bahawa terdapat pelanggaran Seksyen 25(4) SICDA melibatkan pemilikan saham berkaitan Azam.

SC turut memberitahu, perkara itu dirumuskan berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang telah dikumpul.

“Dalam hal ini, siasatan tersebut berkaitan dengan isu sama ada potensi pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku.

“Seksyen 25(4) memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama yang berfaedah pemilik atau penama yang diberi kuasa,” katanya.

6 Januari lalu, SC dalam kenyataan memaklumkan akan menghubungi semua pihak terlibat termasuk Azam untuk mendapatkan penjelasan.

Pada masa sama, SC turut akan meminta pengesahan mengenai kenyataan yang dibuat selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Azam dalam sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, 5 Januari lalu menegaskan tohmahan ke atasnya sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Menjawab berhubung isu saham, Azam berkata, beliau sudah menjelaskan perkara berkenaan kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun saham miliknya digunakan oleh adiknya untuk membuat urus niaga.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare