SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersetuju meningkatkan kerjasama dalam penguatkuasaan dan memperkukuh usaha mengurangkan serta mencegah penipuan atau scam.
SC dan MCMC dalam kenyataan bersama memaklumkan, kerjasama itu diperkukuh menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), hari ini.
Menurut kenyataan itu, MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, hari ini.
Katanya, majlis pemeteraian itu turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
“MoU tersebut mengetengahkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mempergiat kerjasama dalam menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat serta skim pelaburan palsu dan tidak berlesen yang menyalahgunakan platform digital dan teknologi komunikasi.
“Kerjasama ini juga termasuk usaha memanfaatkan teknologi baharu dan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan.
“Kerjasama ini juga sejajar dengan perluasan bidang kuasa Pusat Respons Penipuan Kebangsaan sekali gus menekankan komitmen bersama untuk melindungi orang ramai daripada penipuan pelaburan digital dan penipuan dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohammad Faiz berkata, MoU itu menggariskan dedikasi SC untuk melindungi kepentingan pelabur dan mengekalkan integriti pasaran.
Katanya, ia juga merupkan langkah penting dalam memperkukuh usaha melindungi pelabur runcit dan orang awam daripada penipuan.
“Dengan menggabungkan kepakaran kami, SC dan MCMC boleh bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman yang muncul, meningkatkan perlindungan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap penipuan kewangan dan pelaburan tanpa lesen,” jelasnya.
Dalam pada itu, MCMC menjelaskan bahawa MoU tersebut mencerminkan komitmen berterusannya untuk melindungi rakyat Malaysia dalam ruang digital.
Jelasnya, MCMC menekankan kepentingan kerjasama operasi dalam memastikan persekitaran digital yang lebih selamat.
“Memandangkan penipuan dalam talian terus berkembang dalam skala dan kecanggihan, penyelarasan antara agensi yang kukuh kekal penting.
“Kerjasama ini akan memperkukuh perkongsian risikan, mempercepatkan usaha penguatkuasaan dan memanfaatkan teknologi untuk mengesan dan menurunkan kandungan berkaitan penipuan dengan lebih cekap, mencerminkan tanggungjawab bersama untuk melindungi orang ramai dan menegakkan kepercayaan dalam ekosistem digital Malaysia,” jelasnya.
Pada tahun 2024 dan 2025, SC dengan bantuan MCMC telah menyekat atau menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon.
Kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada mesyuarat kerjasama pertama antara kedua-dua badan yang diadakan pada Mac 2025.
Susulan daripada ini, pelbagai penglibatan telah diadakan, membuka jalan untuk usaha mitigasi penipuan yang dipertingkatkan termasuk sekatan laman web dan kandungan berkaitan penipuan dengan lebih pantas dan penerokaan alatan teknologi baharu.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

