SETIAP lagu yang dilancarkan punya kisah berbeza. Apatah lagi sejak dia membabitkan diri dalam bidang penciptaan dan penulisan lirik, kebanyakan bait lirik lagu itu cukup dekat dengan kehidupan.

14 tahun bergelar anak seni satu tempoh yang cukup mematangkan dirinya. Tiada lagi istilah mahu bereksperimen, sebaliknya, Stacy, 32, atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam ingin terus membuktikan kemampuan yang ada pada diri.

Malah, buat pertama kali menerusi buah tangan terbaharunya berjudul Duit, Stacy membongkar kisah sebenar dirinya.

Masih setia menggunakan khidmat suami tercinta juga penyanyi Akim Ahmad (Hang Nadim), lagu Duit ini juga menampilkan Bunga Cantik iaitu Stacy sendiri dan Koh sebagai komposer serta lirik ditulis oleh Bunga Cantik.

“Lirik lagu Duit ini ditulis sendiri oleh saya. Siapa kenal dan mengikuti latar belakang hidup dan perwatakan saya, ia memang berkaitan dengan lirik lagu ini.

“Lagu ini terinspirasi daripada itu sekaligus tercetusnya idea saya menulis lirik lagu ini yang mana lebih bercerita mengenai kehidupan saya.

“Dalam lirik ini menceritakan antara pesanan yang selalu saya dengar semasa kecil lagi. Bekalan ilmu dan semangat dalam menempuh kehidupan lebih pada ajaran daripada orang tua.

“Dalam masa sama, duit ini boleh tukar mata seseorang dari tak suka kepada suka. Daripada duit juga terhasilnya cerita, asal saja kita tahu sendiri apa disebalik cara mendapatkan duit,” katanya kepada URTV.

Menurut Stacy, menerusi Duit ini juga, peminat dan orang ramai akan mengetahui kisah dan perjalanan hidupnya.

“Walaupun sudah hampir 14 tahun bergelar penyanyi, saya berasakan lagu ini adalah pengenalan untuk saya memperkenalkan kehidupan dan siapa saya pada orang ramai.

“Jadi, ia lebih memberi peluang dan ruang pada saya untuk bercerita siapa saya sebenarnya. Lagu Duit ini memang mengenai saya. Dari segi gaya, ‘vibes’ karakter macam lagu dulu, tapi lirik mengenai saya.

“Kalau dulu lagu Aku Stacy ia lebih pada karakter yang saya dapat sampaikan, tapi dari segi diri sendiri ia berbeza. Sebab lagu itu orang lain tulis lirik.

“Tapi Duit memang lahir dari hati saya. Lebih menjiwai sebab ia bercerita mengenai pengalaman diri sendiri,” ulasnya.

Stacy berkata, dengan adanya pembabitan Akim, sedikit sebanyak ia mewarnai lagi penghasilan lagu Duit.

“Lagu ini bergenre rock n roll pop. Dalam masa sama tarian ada tapi tak ‘berat’. Saya panggil ‘rock dance’. Lagu ini rancak, bukan lagu balada.

“Dengan pembabitan Akim dalam Duit, itu yang buatkan muzik lebih rock n roll. Kiranya gabungan muzik kami.

“Sentuhan Koh juga memberikan elemen yang segar. Saya tak sabar untuk melancarkan lagu ini dan mendengar maklum balas peminat. Apa saya boleh cakap, saya selesa dengan lagu ini dan ia memang bercerita mengenai diri saya,” jelasnya.

Menurut Stacy, Duit sudah disiapkan sejak September tahun lalu.

“Lagu ini sudah siap dari September tahun lalu. Cuma terpaksa ditangguhkan kerana mahu beri ruang lagu penyanyi lain dulu.

“Dari dulu lagi kami memang main buat dan keluarkan saja. Akim pun pernah cakap jangan terlalu fikir pendapat atau kejayaan lagu yang dibuat, baru nak semangat. Itu masalah juga.

“Bidang ini adalah sebahagian daripada pekerjaan kami. Apabila Akim memperkenalkan saya sebagai komposer dan penulis lirik, kami punya tujuan lebih pada nak berkarya,” tuturnya.