Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman dengan menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri ketika tinjauan di KL Sentral Oktober tahun lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

KETIKA kali pertama kes tempatan varian Omicron disahkan di Thailand 20 Disember lalu, jangkitan harian di negara jiran itu hanyalah 2,525 kes.

Namun, sejak tarikh itu, kes harian COVID-19 di Thailand meningkat dan terus meningkat – kes hari ini berjumlah 8,640, melebihi 200 peratus dalam tempoh sebulan.

Antara strategi diambil negara itu ialah mempercepatkan suntikan dos penggalak, dari sela masa enam bulan kepada tiga bulan, begitu juga Malaysia.

Keputusan pihak berkuasa Thailand itu dibuat 13 Disember lalu susulan pengesanan beberapa kes import Omicron.

Matlamat utama ialah untuk mengurangkan kesan teruk gejala dan juga kadar kematian.

Di United Kingdom (UK) yang berdepan lonjakan kes sehingga enam angka juga menggunakan strategi yang sama kerana dos penggalak mengembalikan perlindungan.

Malah Malaysia pun tidak terkecuali, dos penggalak adalah antara perisai dalam berdepan ancaman Omicron.

Malah hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru petugas kesihatan di seluruh negara supaya segera mengambil dos penggalak bagi yang belum berbuat demikian.

Menerusi Facebook, beliau secara khusus mengingatkan betapa pentingnya mereka disuntik dos penggalak supaya hospital, klinik dan sistem penjagaan kesihatan yang lain terus berfungsi.

Noor Hisham berkongsi bagaimana situasi di UK yang mana ramai petugas kesihatan tidak dapat bekerja susulan lonjakan kes baharu COVID-19 akibat Omicron.

Dr Noor Hisham Abdullah menerima suntikan vaksin dos penggalak November lalu.

“Kepada semua petugas barisan hadapan dan kesihatan, awam atau swasta, sila dapatkan dos penggalak anda segera untuk mengelakkan tenaga kerja di fasiliti kesihatan terjejas.

“Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan dan mengharapkan yang terbaik untuk meminimumkan kesan gelombang Omicron,” rayunya.

Mesej beliau jelas. Bersedia peningkatan jumlah kes baharu, sama seperti yang dihadapi di rantau ini dan di benua lain.

Jepun sendiri mula membuat sekatan kepada rakyatnya di 18 buah bandar. Antaranya mengehadkan masa operasi perniagaan restoran.

Kita sudah tentu tidak mahu melalui situasi kawalan pergerakan yang ketat dan kerajaan juga tidak mahu melakukannya kerana kesannya kepada ekonomi dan kehidupan.

Apa pun di hadapan kita, kes baharu COVID-19 kembali melepasi angka 4,000 hari ini, kali pertama dalam tempoh 34 hari.

Sumber FB Dr Noor Hisham Abdullah.

Alhamdulillah, pengambilan dos penggalak dalam kalangan rakyat sudah mencapai 40 peratus populasi dewasa.

Baca: Kes baharu kembali lepasi angka 4,000, kali terakhir 18 Dis

Hanya 5 hari kuarantin untuk rakyat Malaysia lengkap dos penggalak bila pulang dari luar negara – Khairy

Namun sehari dua ini berlegar cerita kurang enak mengenai kesan sampingannya apatah lagi dibawa oleh individu berpengaruh dan ini dikatakan turut memberi kesan kadar pematuhan temu janji dos penggalak.

Sehinggakan Noor Hisham semalam beri respons dengan membentangkan statistik jumlah yang benar-benar berdepan kesan sampingan teruk.

“Sebanyak 42 kes menunjukkan kesan sampingan serius manakala sebahagian besarnya (896 laporan kesan sampingan) menghadapi kesan sampingan minimum,” katanya yang mana lebih 10 juta dos penggalak sudah diberikan di Malaysia setakat semalam.

Jelas di sini, walaupun jumlah mereka yang mengalami kesan sampingan sangat kecil, ia memang wujud dan tidak pernah dinafikan mana-mana negara.

Seorang pakar virus Thailand pula memberi amaran suntikan vaksin COVID-19 yang berterusan boleh mengakibatkan gejala tidak diingini jika diberikan terlalu awal dari tempoh waktu yang disarankan.

Menurut agensi berita Thailand (TNA), Prof Dr Yong Poovorawan, ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal di Universiti Chulalongkorn berkata demikian menerusi hantaran di Facebook.

Dr Poovorawan berkata demikian selepas ramai bertanya mengenai dos vaksin COVID-19 yang tepat dan sesetengah daripada mereka mengakui telah menerima lima suntikan vaksin COVID-19 yang terdiri daripada dua suntikan pertama vaksin Sinovac, diikuti satu suntikan AstraZeneca dan dua suntikan Moderna.

Situasi ini sudah tentu berbeza di antara negara, dengan program vaksinasi COVID-19 Malaysia juga tidak sama dengan Thailand.

Apa pun, soal jangka waktu sesuai sudah tentu sentiasa dalam penilitian pakar-pakar seluruh dunia termasuk di Kementerian Kesihatan di sebalik dos penggalak antara ikhtiar terbaik yang ada.

Dan paling mustahak, Noor Hisham petang ini sekali lagi mengingatkan kepentingan dos penggalak.

“KKM amat menyarankan pengambilan dos penggalak kepada setiap individu yang layak dalam usaha mengelakkan berlakunya peningkatan semula kes dan kemasukan ke hospital sehingga menyebabkan sistem kesihatan negara terbeban,” kata beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram