sprm

SEORANG bekas pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes memalsukan butiran dalam penyata akaun bank syarikat sejak 2019.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), permohonan reman terhadap suspek lelaki berusia 35 tahun itu dibenarkan Majistret Mohamad Farid Lateef bermula hari ini sehingga 27 Jan depan.

“Suspek ditahan semalam pada 10.30 pagi di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semasa hadir memberi keterangan siasatan ke atasnya dipercayai menerima rasuah kira-kira RM20,000 setiap bulan untuk tempoh 20 bulan sejak Julai 2019.

“Ia sebagai dorongan bagi meluluskan tender kontrak sebuah syarikat pembersihan di Kedah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta,” menurut sumber itu.

SPRM kini sedang memperoleh penyata akaun bank terbabit, selain merakam pernyataan beberapa saksi dan tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Baca: Dana Mitra: SPRM tahan 22 individu hasil operasi di 7 negeri

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah.

Pada 11 Jan lepas, SPRM telah menahan 21 individu manakala seorang lagi ditahan reman pada 16 Jan lepas bagi membantu siasatan kes sama.

— BERNAMA